
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, syarikat itu berdaftar dan memperoleh lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menjalankan kegiatan umrah bermula 2023 hingga Mac 2027.
“Sebahagian laporan polis turut dirujuk kepada Motac sebagai agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan bawah Akta Industri Pelancongan 1992,” katanya menambah, siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan masih diteruskan.
Dalam pada itu, Ramli berkata, desakan seorang aktivis semalam agar siasatan terhadap syarikat itu dilaksanakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memberi gambaran seolah-olah polis tidak melakukan siasatan.
Beliau menyifatkan kenyataan itu tidak benar, tidak bertanggungjawab dan mewujudkan persepsi buruk terhadap polis.
“Perlu diketahui bahawa undang-undang negara ini memperuntukkan kuasa siasatan yang berbeza kepada agensi penguat kuasa yang berlainan,” katanya, lapor Bernama.
“Justeru, kesalahan yang termaktub bawah undang-undang tertentu hendaklah disiasat oleh agensi yang dipertanggungjawabkan agar tindakan yang lebih tepat serta sesuai dapat dilaksanakan.”