
Bertitik-tolak dari situ, pakar penyakit berjangkit dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tekad berjuang bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya virus maut itu dengan menjalankan kempen, jelajah, motivasi serta forum.
Berdasarkan Laporan Pemantauan AIDS Global 2023, jangkitan HIV di Malaysia paling banyak dikesan dalam kalangan muda berusia antara 20 hingga 39 tahun, merangkumi 74% daripada kes baharu dilaporkan.

Kumpulan umur 30 hingga 39 tahun pula menyumbang 32% daripada kes baharu, manakala usia 40 hingga 49 tahun mencatat 13%, menunjukkan golongan muda dewasa kelompok paling terjejas oleh jangkitan HIV dalam negara.
Afeera yang aktif bersama sebuah NGO memberitahu FMT, pengalaman berdepan pesakit tersebut sejak 2018 membelenggu fikirannya bahawa isu ini sesuatu yang serius dan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Pesakit termuda pernah saya rawat adalah remaja sekolah menengah. Sebagai ibu, pengalaman merawat pesakit muda yang datang pada fasa AIDS sentiasa bermain di fikiran.
“Ramai daripada mereka hadir di fasa lewat di mana telah dijangkiti dengan jangkitan oportunistik. Lebih mengesankan saya, ada dalam kalangan pesakit ini berakhir dengan kematian,” katanya yang memberikan rawatan secara formal melalui bidang kepakarannya bermula 2022.
Jangkitan oportunistik merujuk kepada sistem imun seseorang menjadi terlalu lemah akibat HIV yang tidak dirawat awal atau secukupnya. Mereka berpeluang dijangkiti oleh jangkitan (virus, bakteria, parasit) lebih teruk dan kerap berbanding orang biasa, atau berpeluang menghidap kanser yang jarang berlaku.
Ibu kepada dua anak lelaki itu berkata, pengalaman tersebut mengingatkannya betapa penting kesedaran dan rawatan awal bagi pesakit HIV.
Hubungan seks
Katanya, antara punca jangkitan disebabkan masyarakat kurang kesedaran mengenai HIV dan AIDS sehingga ramai yang dijangkiti lewat mendapatkan rawatan sekali gus tidak dapat diselamatkan.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Pemantauan AIDS Global 2023 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), punca utama jangkitan HIV ketika ini adalah melalui hubungan seksual berbanding mereka yang menggunakan dadah suntikan.
“Nisbah jangkitan HIV melalui penggunaan dadah suntikan menurun dengan ketara, namun ada peningkatan dalam kes jangkitan melibatkan hubungan seksual seperti MSM (lelaki melakukan hubungan seks dengan lelaki), MSW (pekerja seks lelaki), TG (transgender) dan FSW (pekerja seks wanita),” katanya yang kerap turun padang termasuk menerjah ‘lorong’ di ibu kota memberikan kesedaran mengenai isu ini.
Beliau turut mendedahkan hasil beberapa data pada 2022 amat membimbangkan mengenai tingkah laku seksual remaja di Malaysia di mana 154,646 (7.6%) dilaporkan telah melakukan hubungan seks, iaitu 33% atau 50,000 daripada mereka terjebak sebelum usia 14 tahun.
“Sebanyak 88% juga tidak menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks, yang semakin menambah risiko penularan penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS dan penyakit kelamin lain. Berdasarkan dapatan ini, kesedaran tentang HIV dalam kalangan remaja dan rakyat keseluruhannya boleh dianggap rendah,” katanya.
Justeru, Afeera berkata pendidikan kesihatan seksual lebih holistik amat diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya HIV serta langkah pencegahan.
Katanya, pendidikan yang terbuka mengenai topik sensitif kesihatan seksual harus menjadi sebahagian kurikulum di sekolah dan komuniti.
“Saya puji langkah Kementerian Pendidikan menghasilkan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) Kebangsaan tahun lalu yang membantu golongan muda memperoleh kemahiran membuat keputusan bijak dan selamat tentang kesihatan reproduktif dan sosial,” katanya.
Katanya, HIV dan AIDS adalah isu kemanusiaan yang menuntut peranan semua pihak malah sinergi antara institusi agama serta profesional diperlukan untuk merungkai permasalahan semakin kompleks.