
Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, berkata pihaknya kecewa kerana masalah itu tidak dapat diselesaikan sehingga kini, yang telah menjejaskan kehidupan rakyat.
“Bersatu tuntut kerajaan Gabungan Rakyat Sabah mengambil tanggungjawab dengan menyelesaikan segera masalah asas ini,” katanya dalam kenyataan sambil membangkitkan isu kenaikan kos sara hidup.
“Kos sara hidup melambung tinggi khususnya di Sabah, yang gagal ditangani secara berkesan oleh kerajaan.”
Sebelum ini, penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah, Romzi Ationg, berkata masalah kemudahan asas termasuk air dan elektrik yang sering terganggu menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Nor.
Beliau berkata, parti di Sabah boleh mengambil peluang menarik undi atas pagar dan pengundi muda dengan memberikan alternatif penyelesaian kepada masalah kemudahan asas yang berlarutan sekian lama.
Pada Oktober 2023, Hajiji berkata kerajaan Sabah akan memastikan gangguan bekalan air dan elektrik dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini menerusi langkah untuk menambah kapasiti bekalan.
Bagi meningkatkan bekalan air, kerajaan Sabah membina Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli dan Kogopon.
Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahaya, berkata penyambungan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab antara unsur sabotaj dikenal pasti penyumbang kepada masalah bekalan air negeri itu.
Bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik, antara usaha diambil ialah pembinaan loji jana kuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.
Sementara itu, mesyuarat Bersatu Sabah dipengerusikan Ketuanya Ronald Kiandee pada 14 Feb lalu memutuskan pelantikan beberapa pimpinan termasuk Yunus sebagai setiausaha.
Lim Ting Kai sebagai bendahari, Suhaimi Buang (ketua penerangan), Rahimah Majid (ketua Wanita) dan Nabilah Norsahar (ketua Puteri).