RUU iltizam pentadbiran awam antara langkah perbaiki kedudukan CPI

RUU iltizam pentadbiran awam antara langkah perbaiki kedudukan CPI

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan komited letak negara kelompok 25 terbaik CPI menjelang 2033, berbanding 57 tahun lalu.

Shamsul Azri Abu Bakar turut menyeru semua kementerian dan agensi jalin hubungan erat dengan media bagi sebar luas usaha kerajaan tingkat integriti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang undang-undang (RUU) iltizam kecekapan pentadbiran awam dijangka dapat diwarta sebelum akhir tahun sebagai sebahagian usaha tingkat kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkata kerajaan komited menambah baik kedudukan itu dengan meletakkan sasaran negara berada dalam kelompok 25 terbaik menjelang 2033.

Beliau berkata, bagi merealisasikan sasaran tersebut, pelbagai inisiatif telah diambil termasuk mewujudkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk melaksanakan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

“Draf akhir RUU kini sedang diteliti oleh Pejabat Peguam Negara dan kita sasarkan sebelum hujung tahun ini, ia akan dapat diwartakan,” katanya menurut Bernama selepas rakaman program Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita RTM, Kuala Lumpur.

Pada 11 Feb, Transparency International Malaysia (TI-M) mengumumkan Malaysia kekal ke-57 dalam CPI bagi 2024, dengan skor 50 mata.

CPI itu berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Shamsul Azri berkata, antara elemen penting dalam reformasi perkhidmatan awam yang diperkenalkan sejak 10 Sept tahun lalu ialah mengenai keterlibatan media menyebarluaskan maklumat mengenai usaha kerajaan meningkatkan integriti.

“Kerajaan telah melakukan banyak perkara yang baik, namun usaha ini kurang dipromosikan secara menyeluruh.

“Oleh itu, saya merayu kepada semua kementerian dan agensi untuk menjalinkan hubungan erat dengan media, agar rakyat dapat memahami usaha yang dilakukan kerajaan dalam memastikan agenda integriti berada di tahap tertinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.