
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata rampasan dilakukan pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui Op Taring Landai, setelah menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal tiga premis itu didapati terlibat aktiviti menyimpan dan memproses barangan berjadual e-waste secara tidak sah, dan semasa rampasan dilakukan dua lelaki warga asing berusia 33 serta 35 tahun yang merupakan pekerja kilang itu ditahan.
“Antara dirampas ialah 1,369 guni jumbo dengan muatan pelbagai jenis logam seperti besi, timah, dan tembaga serta komponen automotif, elektronik dan plastik dianggar seberat 2,379 tan. Turut dirampas ialah 47 jentera dan mesin pemprosesan pelbagai jenis.
“Juga dirampas adalah 28 pallet dengan muatan pelbagai jenis logam seperti timah, besi, dan tembaga serta komponen automotif, elektronik dan plastik dengan anggaran 22.4 tan,” katanya dalam kenyataan.
Kumar berkata, barangan lain dirampas adalah 19 ‘square tank’ dengan muatan komponen automotif dan serbuk besi dengan anggaran 41 tan, 13 longgokan besi dan komponen automotif anggaran 55 tan.
“Turut dirampas 10 tong gas, tiga telefon bimbit, dua tungku besi, satu ketuhar pembakar besi dan satu raga aluminium berisi komponen automotif dengan anggaran dua tan. Semua rampasan bernilai RM 71,523,340 diserah kepada Jabatan Alam Sekitar Johor untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 18(1), Seksyen 19 dan Seksyen 34(A)(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975 serta Undang-Undang Kecil 3(1) & 50(1) Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian MBJB 2016,” katanya.