Lelaki gagal bawa keluar 9.6 tan gula di Tawau

Lelaki gagal bawa keluar 9.6 tan gula di Tawau

Nilai rampasan dibuat APMM termasuk bot kargo bernilai RM60,000.

Pengarah APMM Tawau Shahrizan Raman, berkata bot kargo membawa gula pasir dipintas di perairan Tawau. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan sebuah bot kargo bawa keluar 9.6 tan gula di sempadan negara, dalam operasi di perairan Tawau.

Pengarah APMM Tawau Shahrizan Raman, berkata pihaknya mengesan bot kargo dipandu seorang lelaki bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara, pada kedudukan 2.4 batu nautika selatan Batu 3, kira-kira 8.30 pagi semalam.

“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan dibawa dan tiada sebarang pengikraran barangan dilakukan, selain semakan juga mendapati nama suspek juga tidak berdaftar dalam lesen bot.

“Penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo itu juga menemukan 9,600kg gula pasir masing-masing dalam bentuk paket satu kg, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kira-kira RM60,000,” katanya menurut Bernama.

Shahrizan berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

Dalam pada itu, Shahrizan berkata orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku jenayah agar menghubungi Pusat Operasi APMM Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 sebagai usaha bersama mengukuhkan penguatkuasaan pasukan keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.