Caruman KWSP 2% pinggir pekerja asing, kata aktivis

Caruman KWSP 2% pinggir pekerja asing, kata aktivis

Glorene Das berkata pekerja asing sudah berdepan diskriminasi sistemik walaupun mereka memberi sumbangan besar kepada ekonomi.

Pekerja asing
Ketika ini pekerja asing boleh memilih untuk mencarum secara sukarela kepada KWSP pada kadar sama ada 11% bagi mereka berusia bawah 60 tahun atau 5.5% bagi yang melebihi umur itu.
PETALING JAYA:
Pengurangan kadar caruman KWSP bagi pekerja asing daripada 12% kepada 2% menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan kewangan dan perlindungan sosial mereka, kata aktivis hak pekerja.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, berkata langkah itu semakin meminggirkan pekerja asing, yang sudah pun berdepan diskriminasi sistemik walaupun mereka memberikan sumbangan besar kepada ekonomi.

Beliau berkata, langkah itu meningkatkan jurang ketidaksamaan bagi tenaga kerja yang sudah pun bergelut dengan gaji rendah, keadaan kerja yang teruk, dan perlindungan undang-undang lemah.

“Ia memberi mesej bahawa walaupun mereka memainkan peranan penting dalam industri seperti elektronik, minyak sawit, dan pembinaan, mereka masih tidak berhak mendapat tahap keselamatan yang sama seperti pekerja Malaysia,” katanya.

Das berkata, pengurangan drastik itu mencerminkan corak pengecualian yang lebih luas, di mana pekerja asing dilayan sebagai tenaga kerja boleh diganti atau komoditi, serta sekadar alat untuk meraih keuntungan, dan bukan sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan Malaysia.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesan jangka panjang kadar rendah 2%, Das berkata kepentingan simbolik dan struktur penyertaan pekerja asing dalam sistem KWSP mesti dikekalkan.

“Walaupun pada kadar rendah, ia mewujudkan satu duluan bagi perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja asing, yang boleh diperkukuh pada masa depan.

“Dengan itu, jika kerajaan benar-benar serius dalam memastikan keselamatan kewangan pekerja asing, kadar sumbangan lebih bermakna perlu dipertimbangkan,” katanya.

Das juga berkata, melibatkan wakil pekerja, kesatuan sekerja, dan organisasi hak migran akan membantu mengimbangi perlindungan pekerja dan kelestarian perniagaan, serta memastikan dasar tidak dipacu semata-mata oleh kepentingan korporat.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan merancang untuk mewajibkan caruman KWSP bagi semua pekerja asing, dengan pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat.

Ketika ini, pekerja asing boleh memilih untuk mencarum secara sukarela kepada KWSP pada kadar sama ada 11% bagi mereka berusia bawah 60 tahun, dan 5.5% bagi yang melebihi umur itu. Majikan pula hanya menyumbang RM5 bawah kedua-dua skim tersebut.

Pada 3 Feb, Anwar berkata kerajaan bercadang melaksanakan kadar caruman mandatori KWSP sebanyak 2% kepada pekerja asing, lebih rendah daripada cadangan awal 12%.

Beliau berkata, Jemaah Menteri menimbang cadangan itu daripada dewan perniagaan.

Ketua Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sivaranjani, mempersoalkan sama ada kerajaan menggunakan sistem tiga pihak — yang melibatkan pekerja, majikan, dan kerajaan — untuk mencapai kata sepakat mengenai kadar caruman KWSP.

“Adakah cadangan caruman KWSP melalui sistem ini, atau adakah kerajaan membuat keputusan ini semata-mata berdasarkan kepentingan majikan tanpa mengambil kira suara pekerja?

“Lihat sahaja pelaksanaan gaji minimum pada 2013. Tiada perniagaan yang terpaksa ditutup kerananya. Perkara sama juga akan berlaku bagi caruman KWSP ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.