
Beliau yang juga ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata agensi itu sedang aktif dalam libat urus dengan peguam negara bagi meminda undang-undang berusia 15 tahun itu.
Katanya, ketika ini tiada perlindungan diberikan kepada pemberi maklumat terlibat kesalahan, walaupun penglibatan mereka kecil.
“Perlindungan perlu diberikan kepada seseorang individu yang dalam keadaan tertentu terpaksa terlibat, walaupun dia sebenarnya bukan mempunyai peranan yang banyak dan dia mahu juga memberi maklumat.
“Dalam undang-undang sekarang, walau sekecil-kecil penglibatan, maka dia tidak dilindungi, jadi kita sedang melihat untuk menggubal undang-undang untuk diberi pengecualian terhadap mereka yang sanggup ke hadapan memberi maklumat kepada agensi penguat kuasa terutama SPRM,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas rakaman program Bicara Naratif di Wisma Berita RTM, di Kuala Lumpur.
Azam ketika mengulas lanjut, berkata ketika ini perlindungan terhadap seseorang pemberi maklumat akan terbatal, sekiranya individu itu didapati memberikan maklumat berkenaan kepada mana-mana pihak selain SPRM.
Katanya, antara pindaan diteliti termasuk membolehkan pihak swasta mempunyai program perlindungan pemberi maklumat mereka sendiri untuk turut dilindungi mengikut undang-undang kerana ketika ini hanya agensi penguat kuasa yang mempunyai kuasa melindungi pemberi maklumat.
Beliau berharap rang undang-undang pindaan dapat dibentang pada sesi ketiga Parlimen tahun ini.