Serbuan kilang haram, 50 tan kelongsong termasuk peluru hidup ditemui

Serbuan kilang haram, 50 tan kelongsong termasuk peluru hidup ditemui

Kilang proses sisa elektronik haram itu diguna sebagai lokasi peleburan untuk dibentuk menjadi jongkong timah dan tembaga.

MOHAMAD SUZRIN MOHAMAD RODHI
Timbalan Pengarah (KDNKA) Bukit Aman, Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, menunjukkan sebahagian kelongsong peluru yang mahu dileburkan bagi mengambil logam bernilai seperti timah dan tembaga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir 50 tan kelongsong dan anak peluru termasuk peluru hidup ditemukan dalam serbuan ke atas sebuah kilang disyaki memproses sisa elektronik haram di Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata dalam serbuan menerusi Op Hazard itu, bahan dijumpai dalam hampir 50 beg itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dileburkan bagi mengambil logam bernilai seperti timah dan tembaga.

“Dalam serbuan yang bermula 9 pagi ini, kita telah menemui sejumlah anak peluru, kelongsong peluru serta peluru hidup dipercayai bukan dari Malaysia yang cuba dilupuskan di kilang ini. Kita sedang siasat asal-usulnya dari mana.

“Hasil risikan mendapati kilang tersebut telah beroperasi selama lebih kurang dua tahun dan didapati melupuskan e-sisa secara haram,” katanya menurut Bernama.

Seramai 765 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta 51 kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlibat dalam Op Hazard yang dilaksanakan secara serentak hari ini membabitkan 47 lokasi di seluruh negara kecuali Perlis dan Kuala Lumpur.

Suzrin berkata, kes seumpama itu adalah yang pertama didedahkan polis dan siasatan awal mendapati semua bahagian peluru itu akan diproses menggunakan kaedah pembakaran sebelum diasingkan dan dibentuk menjadi jongkong timah dan tembaga.

Beliau berkata, premis tersebut dipercayai beroperasi secara tidak berlesen dan menggunakan khidmat pekerja warga asing yang difahamkan seramai 70 hingga 80 orang.

Pekerja warga asing berkenaan, katanya ditahan untuk siasatan lanjut bagi menentukan sama ada mereka mempunyai permit pekerjaan dan pelbagai mesin turut dirampas.

Suzrin berkata, kes disiasat di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 55 (b) Akta Imigresen, Seksyen 18, 19, 25, 34a dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS Azlan Ahmad, berkata siasatan awal pihaknya mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen untuk menjalankan kegiatan peleraian dan peleburan bahan e-sisa serta peluru itu.

“Siasatan mendapati ada kegiatan peleburan di mana kemungkinan mereka telah menggunakan dapur yang sama (untuk bakar peluru dan e-sisa). Mereka membakar secara terbuka dan kemungkinan pelepasan gas yang berbahaya berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.