
Pengarah JSJN Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata semua suspek warga tempatan berusia 41 hingga 58 tahun ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres di Bandar Sri Damansara pada 11.20 pagi.
Beliau berkata, polis menjumpai satu bungkusan plastik teh Cina berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan ketulan disyaki ketamin di sebuah bilik di rumah tersebut.
Pihaknya turut menemukan 10 guni putih berisi 250 bungkusan teh Cina mengandungi ketulan ketamin di bahagian tempat duduk penumpang belakang barisan pertama sebuah kereta Hyundai Starex.
“Sementara itu, pemeriksaan di barisan kedua bahagian tempat duduk penumpang belakang menjumpai dua guni berisi 30 bungkusan teh Cina mengandungi ketamin dan 15 bungkusan mengandungi syabu, pemeriksaan bahagian but kereta menjumpai 13 guni putih berisi 260 bungkusan teh Cina mengandungi syabu,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, berat keseluruhan rampasan syabu ialah 287.27kg manakala ketamin seberat 289.45kg bernilai RM23.67 juta.
Khaw berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes-Benz E240, BMW 523i, Honda City, wang tunai bernilai RM23,000 serta seutas jam tangan Rolex dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM140,000.
Katanya, ketiga-tiga suspek menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan daripada ketua sindiket bagi melaksakan kerja penyimpanan dan pengedaran dadah untuk pasaran dalam dan luar negara.
Menrutnya, modus operandi sindiket yang aktif sejak awal Disember 2023 adalah menjadikan rumah teres disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan serta dieksport ke Indonesia.
“Polis masih menjejaki ketua sindiket dan semua dadah ini dipercayai dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran di utara tanah air. Kalau diikutkan trend semasa, kebanyakan sindiket lebih gemar eksport dadah ini ke pasaran Indonesia kerana nilainya lebih tinggi mencecah ratusan ribu ringgit bagi sekilo syabu berbanding hanya puluhan ribu ringgit di pasaran tempatan,” katanya.
Khaw berkata, semua suspek direman tujuh hari mulai 12 Feb lalu bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Polis khususnya JSJN bertekad memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012 2087222,” katanya.