Lebih kejam daripada ISA, bekas tahanan gesa mansuh Sosma

Lebih kejam daripada ISA, bekas tahanan gesa mansuh Sosma

Bekas lans koperal polis dakwa Sosma tidak adil kerana perbicaraan dijalankan tanpa bukti.

handcuff
Bawah akta Sosma pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana ia lebih kejam daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bekas tahanan enggan namanya didedahkan menyifatkan Sosma tidak adil dengan mendakwa perbicaraan dijalankan ke atasnya tanpa bukti dan saksi yang mengenalinya.

“Layanan sewaktu dalam reman polis teramat zalim, saya tidak dibenarkan menghubungi keluarga atau mendapatkan peguam. Saya diseksa dari segi fizikal dan mental agar patuh dan ikut arahan mereka seperti menandatangani kenyataan yang bukan datang daripada saya,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, bekas anggota polis yang pernah berkhidmat di IPD Kuala Muda, Kedah, mengakui menerima layanan baik daripada penjara.

Bekas lans koperal itu ditahan bawah Seksyen 130 J (1)(b) kerana menyokong kumpulan Daesh melalui aplikasi Telegram pada Jun 2016 dan dibebaskan Mac tahun lalu selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun lapan bulan.

“Saya sepatutnya dipenjarakan 10 tahun namun dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik,” katanya memaklumkan akta itu menganiaya dan tetap menegaskan dirinya tidak bersalah.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru dibuat semakan ke atas Sosma dengan beberapa aspek dalam akta itu akan diteliti bagi penambahbaikan.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi kenyataan lebih lanjut di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Mengulas mengenai semakan Sosma, lelaki berusia 38 tahun itu mencadangkan kerajaan meneliti tempoh reman terlalu lama, tiada jamin yang boleh dibayar dan hanya menahan mereka yang terlibat secara langsung.

“Pastikan mereka yang benar-benar terlibat dan mempunyai bukti sahaja boleh didakwa, bukan bila sudah tiada bukti jalankan juga pertuduhan dengan menggunakan sub seksyen lain yang boleh menahan seseorang lebih lama dalam penjara,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Pada 12 Feb, lima bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan menggesa kerajaan memansuhkan Sosma, sambil menyatakan tiba masa bagi Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas layanan tahanan bawah akta itu.

Ong Kian Ming, Khalid Samad, Kasthuri Patto, Noor Amin Ahmad, dan Maria Chin Abdullah, berkata kerajaan harus menilai sama ada undang-undang itu perlu, sambil menambah terdapat terlalu banyak laporan dan bantahan daripada tahanan berhubung layanan buruk dan kelewatan berpanjangan bagi pendengaran mahkamah mereka.

Sosma berkuat kuasa pada 2012 bawah pentadbiran Najib Razak. Bawah akta itu, pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.