Ketegangan AS-China, krisis Myanmar antara cabaran terbesar Asean tahun ini

Ketegangan AS-China, krisis Myanmar antara cabaran terbesar Asean tahun ini

Kekurangan kerjasama dalam kalangan rakan strategik Asean mungkin menyebabkan konflik merebak dan menggugat kestabilan Asia Tenggara, kata Joel Ng dari NTU.

ASEAN
Malaysia boleh menggunakan kedudukannya sebagai kepengerusian Asean untuk mengutamakan diplomasi senyap dan memperkukuh dialog dalam menyelesaikan krisis berterusan di Myanmar.
PETALING JAYA:
Dengan ketegangan AS-China yang dijangka meningkat, Asean mungkin berdepan cabaran besar dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara serta Indo-Pasifik secara keseluruhan.

Asean centrality—prinsip bahawa kumpulan ini harus menangani cabaran serantau secara kolektif—”berdasarkan idea kita boleh membawa pihak-pihak untuk berbincang antara satu sama lain,” jelas Joel Ng, timbalan ketua Pusat Kajian Multilateralisme Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.

“Asean boleh anjurkan perbincangan. Namun, cabaran terbesar ialah rakan luar, termasuk pesaing strategik (seperti AS dan China), mungkin tidak begitu berminat untuk berbincang antara satu sama lain. Dan jika negara-negara tidak berminat untuk berbincang, maka kita akan menghadapi masalah besar.”

Ng berkata, kebimbangan utama adalah kekurangan perbincangan dan kerjasama boleh menyebabkan konflik merebak dan menggugat kestabilan Asia Tenggara.

“Kita lihat perkara ini berlaku di wilayah lain sekarang. Tiada siapa boleh mengabaikan konflik Ukraine-Rusia atau Israel-Palestin.

“Perkara ini mempunyai dinamik yang sama di mana watak utama tidak mahu bercakap antara satu sama lain, dan konflik ini membawa akibat amat dahsyat di seluruh rantau—bukan hanya kepada pihak bertelagah.

“Di rantau kita, potensi (untuk konflik dan ketidakstabilan) semakin meningkat dengan persaingan antara AS dan China. Kita tahu bahawa pentadbiran (Donald) Trump yang baharu akan bersikap lebih tegas terhadap China, mungkin jauh lebih tegas.”

Cabaran Myanmar

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, krisis Myanmar salah satu cabaran terbesar membelenggu Asean dan kepimpinan Malaysia tahun ini.

Malaysia lantang bersuara mengenai konflik etnik sejak sebelum rampasan kuasa tentera pada 2021 dan krisis yang melanda Myanmar, terutama disebabkan kemasukan pelarian Rohingya yang selama bertahun-tahun mencari perlindungan di Malaysia.

Mengenai krisis politik berlarutan di Myanmar, Awang Azman berkata Malaysia boleh memanfaatkan kritikannya terhadap junta tentera negara itu untuk menyeru penubuhan koridor kemanusiaan.

Krisis kemanusiaan di Myanmar menjadi tajuk utama bertahun lamanya.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan pada 6 Jan tahun ini, Kesatuan Eropah bersama kerajaan Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Norway, Korea Selatan, Switzerland, Timor-Leste, dan United Kingdom menyatakan kebimbangan terhadap ‘krisis hak asasi manusia dan kemanusiaan yang semakin meruncing’ di Myanmar.

Mereka memetik laporan ‘boleh dipercayai’ mengenai pelanggaran dan penyalahgunaan hak asasi manusia terhadap orang awam, termasuk penculikan dan pengambilan paksa kanak-kanak serta anggota minoriti etnik dan agama, pengeboman udara ‘sewenang-wenang’ oleh tentera ke atas infrastruktur awam, keganasan berasaskan jantina dan seksual, serta serangan terhadap pekerja dan kemudahan kemanusiaan.

Awang Azman menjangkakan dasar tidak campur tangan Asean akan mengehadkan tindakan Malaysia melainkan terdapat konsensus untuk pendirian lebih tegas.

Namun, beliau berkata Malaysia boleh menggunakan peranan kepimpinannya untuk mengutamakan diplomasi senyap dan memperkukuh dialog.

Pada masa sama beliau mengakui tanpa penglibatan antarabangsa yang lebih meluas, perubahan transformatif di Myanmar tidak mungkin berlaku.

“Kita perlu berinovasi sekarang (mengenai krisis Myanmar),” kata Ng, menekankan ini adalah salah satu bidang di mana Asean boleh melakukan lebih baik.

“Pemimpin dan mereka yang berinteraksi dengan pegawai Myanmar mesti mencari cara baru sama ada untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara atau mengembangkannya lebih jauh—melangkaui Konsensus Lima Perkara.”

Walaupun krisis Myanmar adalah masalah dalaman, Ng berkata Asia Tenggara dan Asean mempunyai tanggungjawab membantu rakyat negara itu.

“Mereka juga sebahagian daripada komuniti (Asean). Dan kita perlu berfikir dengan lebih jelas tentang bagaimana perkara ini boleh dilakukan.

“Saya rasa Perdana Menteri Anwar Ibrahim sangat inovatif pada tahun 1990-an dalam menjalin hubungan dengan junta. Saya harap beliau akan melakukannya sekali lagi, mungkin menambah baik pendekatan itu dan ambil pengajaran daripada 25 hingga 30 tahun lalu tentang bagaimana kita boleh melakukannya dengan lebih baik.”

Perpecahan dalaman

Krisis Myanmar juga adalah sebahagian daripada perpecahan serantau yang lebih luas dan nasionalisme berkembang pesat di seluruh dunia.

Ng berkata, Asean menghadapi ‘trend global yang sama menentang multilateralisme’.

“Terdapat kecenderungan yang semakin meningkat untuk bertindak secara unilateral, dan negara-negara merasakan bahawa jika bergerak sendirian, mereka akan lebih cepat berbanding organisasi serantau yang sangat lambat dan membebankan.”

Katanya, bagaimanapun negara anggota Asean mesti mengakui keutamaan serantau adalah dalam kepentingan nasional mereka sendiri.

“Jika kita bina kumpulan serantau yang kuat, negara anda akan mendapat manfaat.

“Ketidakstabilan serantau di tempat lain adalah masalah yang amat jelas bagi negara lain. Apa yang membimbangkan ialah apabila sesebuah negara mengabaikan sepenuhnya dimensi serantau,” katanya merujuk kepada bagaimana Myanmar menolak Konsensus Lima Perkara Asean.

Beliau berkata, ketika ini junta tidak merasakan keperluan atau keinginan untuk mempromosikan kepentingan serantau, walaupun ia memberi manfaat kepada Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.