
Beliau berkata, Azalina tidak hadir pada pertemuan antara Abang Johari dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadikan komennya hanya khabar angin dalam Parlimen.
“Tiada bukti perdana menteri setuju bahawa Petroleum Sarawak Bhd (Petros) hanya boleh mengagihkan 6% gas. (Azalina) tidak hadir pada pertemuan itu,” katanya pada forum ‘Fifty Shades of Federalism’ di Kelab Golf Negara Subang hari ini.
“Apa yang dikatakannya di Parlimen hanya khabar angin. Beliau sepatutnya ada budi bicara untuk rujuk Abang Johari atau pejabatnya untuk memastikan apa yang dipersetujui.”
Rabu lepas, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan berhubung isu minyak dan gas Petronas dan Petros.
Katanya, masih terdapat ‘perkara samar-samar’ yang mesti diteliti oleh pihak-pihak terlibat, tetapi suatu resolusi akan dicapai.
“Lebih kurang muktamad, tetapi masih ada perkara samar-samar disebabkan salah maklumat. Hakikatnya, situasi jelas tetapi maklumat salah mengeruhkan keadaan,” katanya.
Minggu lepas, Azalina dilaporkan berkata, Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai akta menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia, bukan ordinan negeri.
Katanya, perkara itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat antara perdana menteri dan Abang Johari pada 7 Jan lepas.
Menteri itu juga berkata, Petronas telah menerima peranan Petros sebagai agregator gas tunggal bukan gas asli cecair (LNG).
Fong berkata, Sarawak masih mengadakan libat urus dengan kerajaan persekutuan berhubung perkara ini dan negeri itu tahu ‘langkah seterusnya yang tidak akan jejas Petronas’.
Katanya, Sarawak memegang hak mengagihkan minyak dan gas, seperti yang termaktub bawah dua perintah pengecualian yang ditandatangani bawah perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pentadbiran persekutuan sebelum ini.
Fong turut membidas naratif yang menggambarkan usaha Sarawak untuk mengukuhkan hak minyak dan gasnya sebagai percubaan menjejaskan Petronas.
“Tak benar. Petronas masih bertanggungjawab dalam pembuatan dan pengeksportan LNG,” katanya.
“Pelik untuk katakan sebuah syarikat Fortune 500 akan berdepan masalah (besar) jika hilang satu (urus niaga) di Sarawak.
“Semua naratif ini tidak bagus untuk integrasi dan perpaduan nasional. Rakyat Sarawak sayang Malaysia dan sayang Sarawak sama rata.”
Fong juga berkata, gas yang dihasilkan di Sarawak tidak digunakan secara mampan, kerana 94% daripadanya dieksport ke Jepun dan Korea.
Katanya, usaha mengekalkan gas asli untuk kegunaan tempatan akan memudahkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
“Kita akan guna gas ini untuk jana kuasa dan salur elektrik ke Semenanjung Malaysia, yang mana rizab gasnya boleh habis sepenuhnya menjelang 2032,” katanya.