
Setiausaha Agung BSMM Danial Iskandar Abdul Rahman berkata, bantuan itu disalur kepada 3,000 keluarga di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Daerah terbabit ialah Hulu Terengganu dan Setiu di Terengganu; Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan; serta Kubang Pasu dan Kota Setar, Kedah.
“Setiap isi rumah menerima RM700 manakala keluarga dengan anak bersekolah menerima bantuan RM900,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di SK Kampung Besut, Setiu.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Jodi Robinson, lapor Bernama.
Danial Iskandar berkata, selain sumbangan kewangan, BSMM turut menghulurkan bantuan pendidikan dan peralatan kepada komuniti selain terlibat membersihkan kemudahan awam yang terjejas.
Selain itu, katanya, BSMM turut menyediakan penapis air dan tong bagi setiap keluarga, serta menyediakan latihan cara merawat air bagi memastikan anggota masyarakat mempunyai akses kepada air bersih ketika bencana.
“Program ini mencerminkan komitmen kami untuk tidak hanya memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas tetapi juga untuk memperkasakan komuniti dengan peralatan dan pengetahuan bagi menghadapi bencana pada masa akan datang,” katanya.
Program itu dilaksanakan hasil sumbangan rakan korporat BSMM, iaitu Coway, IHH Healthcare, Daikin, dan CIMB Bank serta penderma antarabangsa termasuk Suruhanjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Palang Merah Switzerland, Palang Merah Singapura serta Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC).
Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Kanada berkata, sumbangannya khusus untuk membantu pelajar di kawasan yang dilanda banjir meneruskan pendidikan dengan meringankan beban kewangan keluarga mereka.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha bantuan kemanusiaan yang lebih besar diketuai oleh BSMM, disokong oleh Kanada dan penderma korporat dan antarabangsa yang lain,” katanya dalam kenyataan.