Waspada inflasi walaupun pengangguran menurun, seru pakar

Waspada inflasi walaupun pengangguran menurun, seru pakar

Kadar pengangguran Disember lalu berada pada 3.1%, yang terendah dalam hampir 10 tahun.

pekerja kilang
Seorang pakar ekonomi menegaskan bahawa kadar pengangguran yang rendah bermakna lebih ramai rakyat kini mampu sara diri, tetapi produktiviti mesti meningkat untuk meredakan inflasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mengekalkan inflasi pada masa depan akan menjadi kebimbangan utama bagi penggubal dasar jika kadar pengangguran terus menurun, kata pakar ekonomi.

Pensyarah kanan Universiti Malaya, Goh Lim Thye, beritahu FMT bahawa walaupun pengangguran rendah mempunyai faedah, ia mesti diimbangi dengan pertumbuhan produktiviti dan pengurusan tekanan inflasi yang teliti.

Kegagalan meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan yang meningkat akan membawa kepada kenaikan harga dan seterusnya, inflasi yang lebih tinggi.

Pada Isnin, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran pada Disember tahun lepas berada pada 3.1%, terendah dalam hampir 10 tahun. Dalam dekad itu, kadar pengangguran mencecah paras tertinggi 4.64% pada 2021.

Pengangguran yang rendah mengakibatkan kekurangan buruh, memaksa perniagaan menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk mendapatkan insan yang berbakat dalam pasaran buruh yang sengit.

Perniagaan tidak dapat tidak akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos tambahan itu.

Goh berkata dengan kadar pengangguran yang rendah, inflasi juga meningkat. Bagaimanapun, tambah beliau, risiko inflasi yang lebih tinggi boleh diredakan dengan pertumbuhan produktiviti dan tindak balas monetari.

“Jika produktiviti meningkat bersama gaji, tekanan inflasi boleh dikurangkan,” tambahnya.

Kadar inflasi berada pada 1.8% tahun lepas. Ia adalah 2.5% pada 2023, 3.3% pada 2022 dan 2.5% pada 2021.

Goh berkata walaupun Bank Negara (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil iaitu pada 3% sejak Mei 2023, bank pusat itu mungkin mempertimbangkan kenaikan kadar pada masa depan jika inflasi meningkat disebabkan pertumbuhan pekerjaan yang semakin kukuh, kenaikan gaji, dan pengurangan subsidi.

Sebagai contoh, beliau menarik perhatian kepada langkah Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah daripada hampir 0% kepada 5.50% dari Mac 2022 hingga Julai 2023 untuk mengatasi inflasi yang didorong oleh pengangguran yang rendah dan pertumbuhan gaji yang lebih tinggi.

“Sekiranya inflasi meningkat, BNM mungkin menggunakan strategi yang sama dengan menaikkan kadar faedah untuk menguruskan inflasi yang didorong oleh permintaan,” katanya.

“Daripada bergantung semata-mata pada dasar monetari, meningkatkan produktiviti adalah penting untuk memastikan pertumbuhan upah sejajar dengan keluaran ekonomi. Ini boleh mengurangkan tekanan inflasi,” tambahnya.

Jika produktiviti tidak meningkat seiring dengan gaji, perniagaan akan menghadapi kos buruh yang lebih tinggi tanpa peningkatan output yang sepadan. Untuk mengekalkan keuntungan, mereka mungkin akan menaikkan harga, membawa kepada inflasi yang lebih tinggi.

Sebaliknya, jika produktiviti meningkat seiring dengan gaji, perniagaan akan mampu membayar gaji yang lebih tinggi tanpa menaikkan harga, sekali gus membantu mengawal inflasi.

Selain menggalakkan perniagaan untuk menyepadukan teknologi canggih dan proses dipacu AI untuk meningkatkan produktiviti, Goh berkata mereka boleh tumpu pada peningkatan kemahiran tenaga kerja dengan melabur dalam latihan teknikal dan vokasional.

Malah, katanya, ini penting terutamanya dalam industri pertumbuhan tinggi seperti pembuatan, tenaga boleh diperbaharui, dan perkhidmatan digital.

Mengalu-alukan pengangguran menurun, ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid, berkata keadaan ini bermakna lebih ramai rakyat kini mampu sara diri.

Ini akan diterjemahkan kepada peningkatan dalam perbelanjaan, yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi, katanya.

Bagaimanapun, katanya, inflasi masih “kebimbangan utama” terutama dalam konteks pelarasan dasar seperti subsidi RON95 bersasar – yang merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Afzanizam memerhatikan bahawa BNM memilih untuk memberikan julat yang luas dalam unjuran kadar inflasinya bagi tahun 2025, iaitu 2.0% hingga 3.5%, berbanding 1.8% pada 2024.

Bagaimanapun, beliau ambil maklum kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan kos sara hidup yang lebih tinggi melalui rangsangan ketara bagi Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, dengan menaikkan peruntukan kepada RM13 bilion untuk tahun ini berbanding RM10 bilion tahun lepas.

Beliau menambah kerajaan harus lebih mementingkan pengawasan dan pemantauan di samping mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada untuk mengurangkan pencatutan oleh perniagaan tidak bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.