Warisan nafi wujud persefahaman bahagi kerusi dengan BN

Warisan nafi wujud persefahaman bahagi kerusi dengan BN

Timbalan Presiden Darell Leiking mengesahkan tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya.

Darell Leiking
Timbalan Presiden Darell Leiking kata dakwaan sebuah portal berita mengenai persefahaman antara Warisan dan BN Sabah hanyalah andaian. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Warisan menafikan wujudnya persefahaman parti itu dengan Barisan Nasional (BN) Sabah melibatkan pembahagian kerusi DUN yang bakal ditandingi kedua-dua parti pada PRN Sabah akan datang.

Timbalan Presiden Darell Leiking berkata dakwaan sebuah portal berita mengenai persefahaman antara Warisan dan BN Sabah itu hanyalah andaian dan spekulasi semata-mata.

“Saya telah menerima banyak panggilan serta pesanan WhatsApp daripada wartawan, ahli Warisan dan orang awam yang bertanyakan adakah ia benar bahawa satu persefahaman pilihan raya antara Warisan dan BN Sabah telah dibuat.

“Untuk pengetahuan semua, saya mengesahkan di sini bahawa tidak ada sebarang persefahaman pilihan raya dibuat antara Warisan dan BN Sabah termasuk dengan mana-mana parti politik yang lain,” katanya menerusi kenyataan.

Cadangan atau pendapat tentang persefahaman pilihan raya antara Warisan dan parti-parti politik yang lain tidak pernah dibawa ke peringkat biro politik atau majlis tertinggi parti untuk dibincangkan, menurut beliau.

Semalam, sebuah portal berita mendakwa Warisan dan BN Sabah mengadakan perbincangan bagi mencapai kompromi dalam PRN Sabah akan datang dan mendakwa kedua-dua pihak dilaporkan berkemungkinan tidak bertanding antara satu sama lain di 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Sebelum ini, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri mempunyai tempoh sehingga Oktober ini sebelum DUN Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.