Sultan perkenan perubahan waktu bekerja Ramadan bagi penjawat awam

Sultan perkenan perubahan waktu bekerja Ramadan bagi penjawat awam

Al-Sultan Abdullah berkenan menetapkan waktu bekerja penjawat awam Pahang pada setiap Jumaat berakhir pada 12.30 tengah hari.

Penetapan waktu bekerja setiap Jumaat sepanjang Ramadan beri peluang kepada penjawat awam manfaat lebih masa bersama keluarga. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sultan Pahang berkenan menetapkan waktu bekerja penjawat awam negeri pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini berakhir pada 12.30 tengah hari.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah penetapan waktu bekerja itu susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Feb lepas.

“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga pada bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari,” menurut Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah al-Quran Peringkat Pahang ke-68.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap setiap rakyat mengambil peluang mendekatkan diri kepada Al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, taddabur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan seharian.

Baginda bertitah Ramadan yang bakal tiba dalam beberapa hari lagi turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah serta mengurangkan tumpuan pada hal dunia.

“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan Al-Quran dan mentadabbur ayat suci Al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz. Sesungguhnya, Al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya.

“Ilmu Al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.