Sultan Pahang mahu suspek bunuh wanita buat COD ditahan segera

Sultan Pahang mahu suspek bunuh wanita buat COD ditahan segera

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kesultanan pahang
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menenangkan keluarga mangsa bunuh di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. (Gambar Kesultanan Pahang)
PETALING JAYA:
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu suspek kes bunuh seorang wanita ditemui di tepi sungai dekat Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan ditahan segera.

Baginda juga mahu hukuman setimpal dikenakan ke atas pelakunya.

“Kejam dan tidak berperikemanusiaan,” titah baginda dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berangkat menziarahi keluarga mangsa bunuh di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kesultanan pahang
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitiskan air mata ketika menziarahi keluarga mangsa bunuh di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. (Gambar Kesultanan Pahang)

Baginda sempat menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat kepada suami mangsa, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek kes wanita dipercayai mati dibunuh di tepi sungai dekat Jambatan Tanjung Lumpur ketika menjalankan urus niaga secara hantaran (COD) kira-kira 7.30 malam semalam.

Beliau berkata, pihaknya giat memburu lelaki 37 tahun memiliki rekod lampau berkaitan jenayah yang pernah membuat pesanan makanan dengan peniaga wanita itu.

Katanya, siasatan mendapati barang kemas mangsa hilang dan terdapat kesan kecederaan di badannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.