PRU mengejut harapan palsu kononnya PN masih relevan, kata pemimpin PKR

PRU mengejut harapan palsu kononnya PN masih relevan, kata pemimpin PKR

Naib Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse persoal keupayaan PN jadi kerajaan stabil sekiranya tiada persefahaman antara Bersatu dan PAS.

bendera PN perikatan nasional
Gimik pilihan raya mengejut dicetuskan Bersatu untuk memberi harapan palsu bahawa Perikatan Nasional (PN) masih relevan, kata Jimmy Puah Wee Tse. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gimik pilihan raya mengejut sengaja dicetuskan Bersatu untuk memberi harapan palsu kepada penyokongnya bahawa Perikatan Nasional (PN) masih relevan menjadi kerajaan di Putrajaya, kata seorang pemimpin PKR.

Naib Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata laporan yang mendedahkan kepincangan dua komponen PN itu yang tidak senada mengenai pilihan raya mengejut boleh menjadi indikator hubungan Bersatu dan PAS sudah tiada persefahaman baik.

“Kemungkinan besar apabila sampai masa untuk tentukan calon PM, mereka juga akan bergaduh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tebrau dalam kenyataan.

“Sebenarnya gimik ‘pilihanraya mengejut’ sengaja diwujudkan Bersatu hanya semata-mata untuk beri harapan palsu kepada penyokong mereka supaya PN dilihat kekal relevan sebagai sebuah kerajaan menanti dalam masa terdekat.

“Tapi kasihan kepada Bersatu, bertepuk sebelah tangan,” katanya merujuk laporan FMT bahawa PAS berbeza pendapat dengan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali yang mendakwa PRU mengejut mungkin berlaku hujung tahun ini.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu sedia berdepan PRU sebelum penggal kerajaan tamat pada 2027, namun tidak menjangkakan seawal tahun ini.

Jumaat lalu, Azmin yang juga setiausaha agung PN berkata Presiden Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat pimpinan parti mengarahkan jentera digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan ‘perkembangan amat meyakinkan’ hasil pertemuan Presiden PAS Hadi Awang dan Muhyiddin pada 5 Feb lalu.

Memetik sumber, FMT melaporkan PAS dikatakan ‘tidak terlalu teruja’ menyertai naratif dimainkan Bersatu yang kononnya PRU mengejut bakal diadakan hujung tahun ini.

Sumber PAS itu juga memberitahu masih belum ada penyelarasan gerak kerja antara dua parti utama PN terbabit, yang boleh mengaitkan komponen itu sedia menuju ke medan PRU.

Malah, sumber Bersatu juga mendedahkan hanya segelintir pemimpin parti itu yang bersungguh-sungguh mahu PRU diadakan segera manakala sebahagian lagi tidak yakin akan berlaku PRU mengejut.

Mengulas situasi itu, Jimmy mempersoalkan keupayaan PN menjadi sebuah kerajaan stabil sekiranya tiada persefahaman antara parti gabungan.

“Ternyata PN sebuah pakatan yang semakin hari semakin tidak relevan di mata rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.