
Xu Jianfeng, 27, dan isterinya Shi Qian, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di depan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu ketika berada di Gate Q5 KLIA Terminal 2 sengaja mendatangkan kegusaran orang lain melalui perbuatan lucah di tempat awam dengan cara membuka baju.
Pertuduhan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda, atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Chew Sin Yee.
Hakim kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin RM5,000 setiap orang dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Feb ini.
Semalam, media melaporkan pasangan warga China yang membuat kekecohan di pesawat hendak berlepas ke Jieyan Chaosan, China, di KLIA Terminal 2 pada 9 Feb lalu ditahan polis selepas mereka disahkan tidak mengalami sebarang masalah mental.
Timbalan Ketua Polis KLIA, Albany Hamzah, dilaporkan berkata pasangan itu berkelakuan agresif dan tidak siuman ketika berada dalam pesawat hendak berlepas.