
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara baharu berhubung isu itu juga mungkin timbul ketika prosiding dijalankan.
“Kita nak membuat satu laporan yang komprehensif, bukannya laporan suka-suka. Kita tak nak orang mempertikaikan laporan yang akan dikeluarkan oleh PAC.
“Kita nak buat satu laporan boleh membantu kerajaan membuat polisi ataupun dasar yang membantu rakyat,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri sesi pendengaran awam prosiding peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di George Town.
Kira-kira 100 peserta menghadiri sesi pendengaran awam itu yang dikendalikan Mas Ermieyati, ahli PAC dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Ku Abd Rahman Ku Ismail sebagai pengantara.
Mas Ermieyati berkata pihaknya berpuas hati dengan dapatan dan pandangan diterima daripada pendengaran awam hari ini dan akan diteruskan di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur 21 Feb ini.
Dalam perkembangan sama, Sim berkata rakyat gusar dengan tekanan kenaikan premium insurans dan lebih 50% populasi di Malaysia mempunyai premium insurans kesihatan.
“Rakyat B40 pun beli insurans, jadi ini bermaknan isu ini dihadapi semua daripada T20 hingga B40 yang memerlukan penyelesaian kenaikan harga insurans dan hospital swasta.”
Selepas sesi pendengaran awam, PAC akan mengadakan prosiding tertutup di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi merangkumi pemegang taruh utama dari kementerian/jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebelum dimasukkan dalam laporan PAC dan dibentangkan di Parlimen.
Disember lalu, Bank Negara (BNM) meminta semua syarikat insurans serta takaful menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya tiga tahun hingga akhir 2026 bagi mengurangkan beban pemegang polisi terhadap kenaikan premium.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur jika premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.