
Perdana menteri turut mengulangi pendirian Malaysia terus membantu rakyat Palestin ketika menghubungi presiden Mesir itu, antara lain menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Mesir.
“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.
“Saya turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata, El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Gerakan membantu Palestin, katanya pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Mesir dan mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan kebudayaan kedua-dua negara.