
Tertuduh, S Teenesh, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Dan.
Lelaki berusia 40 tahun itu didakwa membantu suspek mengelak pihak berkuasa pada 7 Feb, dengan menyediakan perlindungan kepada mereka di sebuah rumah kongsi di Jelebu, Negeri Sembilan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah, yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan, denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Peguam Zaidi Othman ketika membuat rayuan berkata anak guamnya, yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit, tidak mengenali suspek ketika mereka dibawa ke rumah kongsi itu oleh beberapa individu lain.
“Ketika pertama kali melihat suspek, dia tidak tahu siapa mereka dan tidak terlibat dalam insiden langgar lari itu. Dia hanya mengikut keputusan majoriti pekerja di sana untuk memberikan perlindungan,” katanya.
Zaidi memaklumkan bahawa anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan ini kali pertama dia dihadapkan ke mahkamah.
Majistret menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Sebelum ini, lima lelaki didakwa atas kesalahan merusuh menggunakan senjata dalam kejadian pada 29 Jan itu.
Kes itu mendapat perhatian meluas selepas rakaman dua kenderaan melanggar sekumpulan individu di luar kelab malam berkenaan tular di media sosial.