
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, di Dewan Rakyat tempoh hari ‘suara peribadi’.
“Tidak dipersetujui oleh mana-mana dalam kerajaan, apa lagi dalam jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita di Masjid As-Salam, Puchong, seusai solat Jumaat.
Cadangan memecahkan portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menyusuli kontroversi cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.
Chow mengajukan saranan itu di Dewan Rakyat pada Rabu, ketika membahaskan titah diraja.
Menyeru kerajaan persekutuan mencontohi beberapa kerajaan negeri yang mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, beliau percaya menteri hal ehwal agama Islam dan bukan Islam akan dapat berkomunikasi secara mendalam bagi mengelakkan sebarang kontroversi, selain memastikan pengurusan agama yang adil.
Cadangan tersebut bagaimanapun dikritik oleh pemimpin-pemimpin daripada Umno, Amanah dan PKR, yang merupakan parti pemerintah.