Hak O&G: Rakyat Sarawak mahu penyelesaian menang-menang, kata Ahli Parlimen

Hak O&G: Rakyat Sarawak mahu penyelesaian menang-menang, kata Ahli Parlimen

Willie Mongin kata Sarawak tidak menuntut keseluruhan hasil minyak dan gas.

oil rig
Willie Mongin sokong cadangan menyusun semula peranan Petronas dan Petros yang melibatkan sektor gas negeri. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Rakyat Sarawak hanya mahu pertikaian antara negeri itu dan Putrajaya berhubung hak ke atas minyak dan gas diselesaikan secara adil, menurut seorang Ahli Parlimen blok pemerintah.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, berkata Sarawak bukannya menuntut keseluruhan hasil minyak dan gas, lapor Borneo Post.

“Hanya mahukan penyelesaian menang-menang untuk kemakmuran bersama,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat semalam.

Willie juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan kuasanya di bawah Akta Kemajuan Petroleum (Akta 144) untuk membetulkan ketidakseimbangan berhubung hak minyak dan gas Sarawak.

Beliau berkata satu ketidakseimbangan itu ialah 94% daripada sejumlah 4.5 bilion kaki padu standard sehari pengeluaran gas asli di Sarawak dieksport ke luar negara oleh Petronas.

Hanya enam bilion kaki padu standard digunakan untuk sektor tenaga, perindustrian dan domestik di Sarawak, katanya.

Sebagai perbandingan, dua bilion kaki padu standard sehari gas asli yang dihasilkan di Malaysia Barat disalurkan sepenuhnya untuk kegunaan domestik, kata Willie.

“Adakah ini adil untuk Sarawak? Mengapa Petros tidak boleh menguruskan sebahagian daripada 94% ini untuk meningkatkan penggunaan gas domestik?” katanya, merujuk kepada agregator gas tunggal negeri.

“Jika boleh, ini akan mengukuhkan industri hiliran, meningkatkan ekonomi Sarawak, mewujudkan lebih banyak pekerjaan, dan menjana lebih banyak hasil cukai untuk negara.”

Willie berkata beliau menyokong cadangan kerajaan Sarawak untuk menyusun semula peranan Petronas dan Petros yang melibatkan sektor gas negeri.

Cadangan itu adalah untuk Petros bertindak sebagai agregator tunggal bagi perolehan, pengedaran dan pembekalan gas domestik, manakala Petronas akan mengendalikan pengeluaran, penjualan dan eksport gas asli cecair.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata suatu persetujuan tercapai dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 7 Jan lalu, menyentuh pertikaian mengenai hak kerajaan negeri mengagihkan gas di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.