
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata lawatan itu bertujuan memberi pegawai Afghanistan gambaran lebih mendalam terhadap sistem pendidikan Malaysia.
“Namun, perlu dinyatakan lawatan tersebut tidak melibatkan sebarang bentuk perjanjian rasmi atau kerjasama dua hala antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Beliau berkata, Putrajaya belum mengiktiraf kerajaan de facto Afghanistan.
“Oleh yang demikian, tiada sebarang hubungan rasmi atau kerjasama strategik yang dimeterai antara kedua-dua kerajaan dalam pendidikan.”
Beliau menjawab soalan Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengenai hubungan dua hala yang terjalin antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan selepas lawatan itu.
Menurutnya, lawatan itu dibiayai sepenuhnya sebuah NGO antarabangsa yang menguruskan dana disediakan Kesatuan Eropah dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan.
Beliau berkata, KPM akan terus mendapatkan nasihat dan panduan Wisma Putra sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk kerjasama dengan entiti asing.
Tindakan KPM menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan mendapat perhatian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, tahun lepas.
Ahli Parlimen Bagan itu memetik dasar kontroversi kerajaan pimpinan Taliban mengenai pendidikan untuk wanita.
KPM bagaimanapun mempertahankan langkah itu dengan berkata, ia selaras dasar Putrajaya untuk membantu negara Islam itu.