Syed Mokhtar setuju sumbang RM30 juta bantu pesawah miskin, kata PM

Syed Mokhtar setuju sumbang RM30 juta bantu pesawah miskin, kata PM

Pada Disember 2022 tokoh korporat itu sumbang RM10 juta bagi membela nasib pesawah miskin.

syed mokhtar anwar
Anwar Ibrahim berkata beliau menghubungi Syed Mokhtar Al-Bukhary yang bersetuju memberi sumbangan RM30 juta bagi kepentingan pesawah.
PETALING JAYA:
Tokoh korporat Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sumbangan itu bantuan kali kedua oleh tokoh memiliki pegangan saham terbesar dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang pada Disember 2022 menyalurkan RM10 juta.

Anwar berkata, kerajaan menghargai usaha Bernas yang telah bersama kerajaan memastikan kebajikan pesawah terbela menerusi sumbangan RM60 juta kepada pesawah miskin.

Katanya, sememangnya komitmen kerajaan menjaga kebajikan pesawah yang terbukti menerusi penyelarasan harga lantai belian padi diumum hari ini selain subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk mengekalkan harga beras putih tempatan (BPT) pada RM2.60 sekilogram.

“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Syed Mokhtar dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

“Insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah miskin dalam masa terdekat,” katanya di Facebook.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa Ahad.

Pelarasan itu menyaksikan pesawah menikmati harga lantai belian padi baharu buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Anwar mengumumkan pelarasan kadar itu kepada RM1,300 bermula 1 Jan tahun lalu.

Mohamad turut mengumumkan kerajaan meluluskan RM150 juta untuk memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.