Susut 0.2% pegangan asing bukan gambaran pelabur hilang yakin, kata PM

Susut 0.2% pegangan asing bukan gambaran pelabur hilang yakin, kata PM

Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata semua indikator menunjukkan ekonomi negara meningkat.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata pegangan saham hanya sebahagian kemasukan dana dan pelaburan, manakala keluaran dalam negara kasar untuk sembilan bulan pertama masih menggalakkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul isu pelabur hilang keyakinan terhadap ekonomi negara susulan penyusutan 0.2% daripada jumlah keseluruhan permodalan saham sebanyak RM2.3 trilion.

Menteri kewangan berkata pegangan saham hanya sebahagian kemasukan dana dan pelaburan, manakala keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk sembilan bulan pertama masih menggalakkan.

“Tengok angka (pegangan) yang kekal pada 19% sebelum ini bertambah sehingga 19.7% pada akhir 2024. Ia masih 19.4% Januari ini, jadi 0.2% itu tidak menggambarkan keyakinan kepada ekonomi negara,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung punca ramai pelabur asing didakwa menjual pegangan saham mereka dalam negara baru-baru ini.

Anwar turut membidas tindakan pembangkang memainkan pelbagai persepsi yang kononnya perkara itu berkait persepsi rasuah, keputusandilepas tanpa bebas (DNAA) dalam sesetengah kes dan titah adendum.

“Semua indikator ekonomi kita meningkat dan diakui semua, termasuk pendidikan. Tinggi kejatuhannya di Thailand, Filipina dan Indonesia, tetapi 0.2% itu saja angka yang menyebabkan hilang sama sekali keyakinan.”

Beliau berkata cadangan dikemukakan pembangkang akan dipertimbangkan kerajaan jika ia berpandukan fakta sebenar.

“Bukan masalah tak mahu dengar, tapi kena ada fakta. Soal tak jawab adendum, saya dah beritahu itu kes mahkamah.

“Saya bagi jaminan di Parlimen akan jawab selepas kes mahkamah selesai. (Saya hendak) tengok ketua pembangkang hadir atau tidak.”

Kerajaan sebelum ini memaklumkan tidak akan membincangkan isu titah adendum selaras prinsip pemisahan kuasa.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman dilaporkan berkata, urusan semakan kehakiman dan pengampunan di bawah bidang kuasa mahkamah serta Lembaga Pengampunan.

Katanya, permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib di Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu membenarkan prosiding itu diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah, jadi ia tidak boleh dibincangkan selaras Peraturan Mesyuarat 23(1)(g).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.