Muhyiddin saran kertas putih industri padi, beras

Muhyiddin saran kertas putih industri padi, beras

Ahli Parlimen Pagoh berkata kertas putih dapat tangani masalah padi dan beras negara secara komprehensif sebagaimana dilaksanakan ke atas Felda.

beras
Muhyiddin Yassin berkata kerajaan boleh mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengusaha yang mencampurkan BPT dengan beras import bawah Akta Perihal Dagangan.
PETALING JAYA:
Kerajaan disaran mewujudkan kertas putih industri padi dan beras negara bagi memastikan bekalan beras putih tempatan (BPT) mencukupi di pasaran.

Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, kertas putih itu dilihat dapat menangani masalah padi dan beras secara komprehensif sebagaimana dilaksanakan ke atas Felda sebelum ini.

“Ini akan mengambil masa sikit namun lebih komprehensif,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, kerajaan meluluskan peruntukan RM150 juta untuk memastikan BPT mencukupi di pasaran.

Terdahulu, Mohamad atau Mat Sabu berkata peruntukan itu digunakan untuk menstabilkan bekalan dengan sasaran pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10kg BPT bagi menampung permintaan selain mengekalkan harganya pada kadar RM2.60 sekilogram.

Menurutnya, kerajaan akan melihat perkembangan pelaksanaan inisiatif itu dalam tempoh enam bulan sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga pengerusi PN menyindir Mohamad bahawa isu berkenaan tidak akan dapat diselesaikan dalam masa enam bulan.

“Bila menteri kata enam bulan, mana boleh enam bulan, (masalah) ini tak boleh selesai,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengusaha yang mencampurkan BPT dengan beras import bawah Akta Perihal Dagangan.

“(Bawah akta itu) kalau nak berniaga sesuatu barang mesti disahkan barang itu barang apa, kalau barangan import, ya import, kalau tempatan, ya tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.