Kerajaan sewa 28 helikopter demi ringan beban fiskal, kata Azalina

Kerajaan sewa 28 helikopter demi ringan beban fiskal, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata perjanjian pajakan meliputi penyelenggaraan, latihan dan pilihan membeli pesawat RM1 pada akhir penggal.

AgustaWestland AW139
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata model pajakan sama digunakan negara seperti Perancis, Kanada dan UK. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Kerajaan memilih untuk memajak 28 helikopter AugustaWestland 139 bagi mengoptimumkan perbelanjaannya dengan mengagihkan RM16.6 bilion lebih mampan dalam tempoh 15 tahun, kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Beliau dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata, perjanjian pajakan itu meliputi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk lebih 1,300 anggota, dengan jaminan ketersediaan fleet ke tahap minimum 85% untuk semua agensi menggunakan helikopter.

Pada akhir tempoh pajakan, beliau berkata, kerajaan diberi pilihan membeli setiap helikopter pada harga nominal RM1.

“Melalui inisiatif pajakan ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam fasa pembekalan helikopter tersebut.

“Malahan, segala kos timbul dalam tempoh masa pembekalan ini, termasuk kos-kos latihan bagi kru penerbangan akan dibiayai syarikat konsesi sehingga aset tersebut diterima kerajaan,” katanya sambil menambah model pajakan sama digunakan negara seperti Perancis, Kanada dan UK.

Azalina menjawab soalan Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) berhubung peruntukan RM16.6 bilion untuk pajakan helikopter yang dibandingkan dengan kos RM9.8 bilion bagi menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).

Minggu lalu, ketua pembangkang, Hamzah Zainudin turut mengkritik keputusan menyewa helikopter itu atas alasan pembelian terus daripada pengeluar hanya menelan belanja RM3.954 bilion.

Beliau memetik Poland membeli 32 helikopter AW139 pada kos USD2 bilion (RM3.95 bilion), termasuk pakej pemasangan dalam negara.

Mengenai kebimbangan Mumtaz terhadap LPT3, Azalina berkata, pajakan helikopter dan projek lebuh raya adalah keutamaan kerajaan, tetapi faktor seperti keselamatan, kesediaan operasi dan kemampanan kewangan memerlukan langkah untuk memperkukuh fleet helikopter semakin usang.

Menurutnya, kebanyakan helikopter sedia ada kerajaan berusia 12 hingga 32 tahun, dengan beberapa daripadanya digunakan secara berlebihan untuk misi kritikal.

Katanya, LPT3 masih dalam penelitian kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan Kelantan dan Terengganu.

“Penelitian ini termasuk aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan bagi memastikan ianya benar-benar memberi ‘value for money’ dan manfaat kepada rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.