2 pegawai kanan persatuan sukan ditahan SPRM

2 pegawai kanan persatuan sukan ditahan SPRM

Mereka ditahan reman kerana disyaki terlibat salah guna kuasa membabitkan sumbangan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

pegawai kanan persatuan sukan ditahan sprm
SPRM tahan dua pegawai kanan satu persatuan di Johor dalam siasatan berkaitan sumbangan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
PETALING JAYA:
Dua pegawai kanan satu persatuan sukan di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan sumbangan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Sumber memaklumkan mereka yang berusia sekitar 60-an itu ditahan petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Johor.

Katanya, mereka kini ditahan reman kerana disyaki terlibat salah guna kuasa membabitkan sumbangan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM27,000.

“Suspek pertama yang juga merupakan presiden persatuan sukan tersebut dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2025,” menurut sumber.

“Suspek disyaki menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan setiausaha kehormat memindahkan sebahagian daripada sumbangan berjumlah kira-kira RM1.3 juta yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan dan pihak swasta bagi tujuan aktiviti persatuan daripada akaun persatuan ke akaun miliknya dan anaknya.

“Suspek kedua, bekas setiausaha kehormat pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 hingga 2024 dengan mengemukakan dokumen permohonan yang mengandungi butir matan palsu berkaitan bayaran latihan berjumlah kira-kira RM15,000 dan bayaran subsidi peralatan sukan berjumlah kira-kira RM12,000 kepada Majlis Sukan Negeri sedangkan program dan pembekalan tidak dilakukan,” katanya.

Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Mereka ditahan reman selama lima hari sehingga 17 Feb.

Kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.