Asean mesti usaha kukuh pengaruh terhadap kuasa besar

Asean mesti usaha kukuh pengaruh terhadap kuasa besar

Pemimpin dan penganalisis berkata Asean mesti bersatu, boleh menyesuaikan diri dan dinamik untuk mempengaruhi politik global.

Nikorndej
Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura yakin Asean boleh memainkan ‘peranan mengagumkan’ dalam politik global dan hal ehwal antarabangsa.
PETALING JAYA:
Asean mesti berusaha meluaskan pengaruhnya bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, kata beberapa pemimpin dan penganalisis.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, yakin blok negara Asia Tenggara boleh memainkan ‘peranan mengagumkan’ dalam politik global dan hal ehwal antarabangsa.

“Kita hidup dalam reka bentuk geopolitik yang bergerak laju dan cepat berubah. Asean perlu dinamik dan boleh menyesuaikan diri dengan semua perubahan ini,” katanya kepada FMT dalam wawancara eksklusif pada program pemukiman menteri luar Asean di Langkawi baru-baru ini.

Balankura memetik kejayaan Asean dalam banyak bidang termasuk dalam menyusun Tinjauan Asean mengenai Indo-Pasifik (AOIP).

“Saya rasa masyarakat antarabangsa mengagumi Asean atas (AOIP). Kita telah wujudkan inisiatif sendiri yang menjadi pelengkap kepada kuasa besar, pada masa sama, tidak mencabar sesiapa,” katanya.

Pada 2019, Asean menerima pakai konsep Indo-Pasifik, yang pada asalnya dianjurkan oleh Washington, dan menyesuaikannya untuk memenuhi keperluan serantau. Usaha itu menghasilkan AOIP yang menekankan pemusatan dan keterangkuman Asean. Ia juga mengiktiraf India sebagai kuasa strategik melalui perkongsian strategik komprehensif dimeterai pada 2022.

“Begitulah saya lihat peranan Asean yang mengagumkan dalam reka bentuk antarabangsa. Pada masa akan datang, Asean harus lebih menonjol dalam usahanya dan lebih ketara kepada kuasa besar antarabangsa,” kata Balankura.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Enrique Manalo, berbicara tentang keperluan perpaduan dan kebolehsesuaian serantau, sambil menyatakan bahawa kedinamikan Asean penting untuk mengekal dan menganjurkan keamanan dan kestabilan.

Manalo memberitahu FMT, perkembangan dalam pelbagai bidang, termasuk dalam kecerdasan buatan (AI), adalah di mana ‘Asean ada potensi untuk menjadi kuasa, bukan sahaja dari segi situasi serantau kita, malah pada peringkat global’.

Keperluan cipta semula diri

Negara anggota Asean bekerjasama dalam pelbagai perkara, tetapi blok itu mendapat kecaman disebabkan kemajuan yang perlahan di tengah-tengah cabaran dan peluang yang semakin berkembang.

Felo Kanan Iseas Yusof Ishak Institute, Tang Siew Mun, berkata sudah lama Asean perlukan ‘ubah rupa’.

“Asas operasi Asean hari ini adalah berdasarkan prinsip dalam Deklarasi Bangkok pada 1967. Adakah Asean masih mampu memenuhi tujuannya?

“Asean masih relevan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran serantau dan global yang pelbagai rupa dan semakin kompleks. Bagaimanapun, mustahak bagi Asean untuk mempunyai set alat bagi memacu pembinaan komunitinya pada abad ke-21,” katanya.

Tang berkata, Putrajaya mesti mengembang dan memerincikan perkara itu jika serius untuk memulakan ‘kelahiran semula kedua’ Asean.

Profesor Adjung Universiti Malaya, Johan Saravanamuttu, menggesa Asean memberikan perhatian khusus pada komuniti keterjaminan politiknya.

“Dalam tempoh geopolitik yang sangat mencabar ini, kita perlu mempertingkat dan mengukuhkan mekanisme institusi dalam Asean untuk penyelesaian aman dan pengurusan konflik,” katanya.

Manalo bagaimanapun mempertikaikan keperluan bagi blok serantau ini untuk mencipta semula dirinya, tetapi bersetuju ia mesti menyesuaikan diri dengan cabaran baharu.

“Saya tidak tahu sama ada (Asean) perlu cipta semula diri, tetapi Asean pastinya perlu melihat bagaimana kita boleh bertindak balas terhadap perkembangan yang kita hadapi sekarang, iaitu isu atau situasi yang tidak wujud 20 tahun lalu,” katanya.

Kerosakan sampingan

Antara perkembangan itu adalah kembalinya pentadbiran Donald Trump dan ikrarnya untuk mengambil pendirian lebih tegas terhadap China, saingan AS untuk kuasa dan kemakmuran global. Anggota Asean mesti meneroka cara untuk mengelakkan ketegangan itu daripada melimpah dan menjejaskan kestabilan rantau ini.

Setiausaha Agung Asean, Kao Kim Hourn, berkata blok itu sedang giat bekerjasama dengan AS dalam pelan baharu untuk 2026-2030. Katanya, Asean juga akan terus mengukuhkan hubungan antara semua negara Indo-Pasifik untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan.

“Keupayaan Asean untuk mengumpulkan negara-negara dan mengadakan dialog bagi menguraikan perbezaan adalah sesuatu yang tidak boleh kita lepas pandang. Cara kita berinteraksi dengan rakan kongsi dengan ketelusan dan keterbukaan telah membina kepercayaan yang kukuh,” katanya.

Felo Penyelidik RSIS, Joel Ng, bagaimanapun memberi amaran bahawa dialog mempunyai hadnya.

“Platform Asean tidak akan berguna jika satu-satunya kegunaannya yang didapati oleh rakan kongsi luar (termasuk AS dan China) adalah untuk saling mencaci dan bertekak sesama sendiri,” katanya.

Ng berkata, Asean mesti mengukuhkan kepimpinannya dan memastikan kepentingan luar tidak membayangi agenda Asean sendiri.

“Kita juga boleh lebih banyak usaha untuk diri kita sekarang,” kata Ng, menekankan keperluan perpaduan dan integrasi.

“Semakin seluruh dunia tidak stabil, semakin kita perlukan satu sama lain.

“Asean mempunyai pasaran yang sangat besar. Jadi jika Asean mempunyai ekonomi yang sangat kuat, teguh dan pelbagai, kepimpinan kita di Indo-Pasifik akan berkembang dengan sendirinya, kerana orang akan mahu berurusan dengan Asean, akan mahu berpangkalan di sini. Mereka akan mahu nikmati kestabilan yang kita ada.

“Kita perlu terus usahakan integrasi sesama kita, dan saya rasa itu penawar yang baik kepada dinamik lain di seluruh dunia yang mungkin tidak dapat kita kawal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.