
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, berkata operasi bersepadu hasil risikan dan intipan selama sebulan turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
“Dalam serbuan bermula 8.30 pagi itu, kita menyita sebanyak 262 unit tayar celup pneumatik dan beberapa dokumen perniagaan bernilai RM80,410 daripada premis dipercayai mengilang dan membekalkan tayar celup tidak mengikut piawaian.
“Pemeriksaan mendapati pengilang berkenaan tidak mendapat pensijilan daripada Sirim QAS International Sdn Bhd tetapi tetap menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka,” katanya dalam sidang media di salah sebuah lokasi serbuan.
Beliau berkata, perbuatan itu melanggar Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 dan boleh mengancam keselamatan pengguna di jalan raya.
Siasatan awal juga mendapati walaupun lesen untuk menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka telah tamat sejak 2023, pengilang berkenaan masih meneruskan kegiatan itu.
“Pada 2023, sebanyak 194 aduan berkaitan tayar celup ini telah diterima, diikuti 296 aduan pada tahun lepas dan setakat 12 Feb lepas, 28 aduan telah dilakukan oleh pengguna yang prihatin tentang keselamatan tayar celup yang dikeluarkan oleh kedai ini.
“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan orang ramai. Kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya sedang meneliti kebolehlaksanaan beberapa prosedur tambahan, termasuk mewajibkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) melabel tayar kenderaan yang menjalani pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian MS 224.
“Kita akan memperketatkan lagi pemantauan dan pengesahan tayar celup di pasaran supaya pengguna tidak mudah tertipu dengan produk yang tidak menepati spesifikasi keselamatan,” katanya.