Wakil PN gesa pengeluaran KWSP bersasar, dakwa Akaun 3 tak berkesan

Wakil PN gesa pengeluaran KWSP bersasar, dakwa Akaun 3 tak berkesan

Wan Saiful Wan Jan dakwa ramai pencarum keluar simpanan akaun 3 KWSP untuk membiayai aktiviti seperti dilaporkan sebuah media.

kwsp
Akaun Fleksibel KWSP diperkenalkan pada Mei tahun lalu yang membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan daripadanya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang meminta kerajaan mengkaji semula pelaksanaan kebenaran pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwa tidak berkesan.

Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata sebuah media melaporkan ramai pencarum mengeluarkan simpanan di Akaun Tiga terbabit untuk membiayai aktiviti mewah yang tidak diperlukan.

Menurutnya, langkah itu tidak mencapai sasaran untuk membantu golongan terkesan yang memerlukan wang segera untuk membayar perbelanjaan kritikal antaranya bil hospital dan tunggakan bayaran kenderaan sehingga terpaksa meminjam ‘along’.

Wan Saiful Wan Jan.

“Maksudnya dasar kerajaan wujudkan Akaun Tiga tidak berjaya dan tak berkesan,” katanya dalam perbahasan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Akaun Fleksibel diperkenalkan pada Mei tahun lalu yang membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan daripadanya bagi menampung perbelanjaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menggantikannya dengan pengeluaran secara bersasar yang didakwanya lebih praktikal dan tepat dalam membantu golongan terjejas.

Wan Saiful memberi contoh dasar itu dibenarkan untuk pencarum mempunyai simpanan yang besar tetapi pada masa sama perlu membayar banyak keperluan penting.

“Contohnya seorang itu ada RM1.3 juta dan seorang lagi RM1.8 juta dalam akaun. Tapi yang ada RM1.3 juta tu kerja basuh pinggan dan seorang lagi terlantar di hospital, tidak mampu bayar bil.

“Ini yang patut buat dasar pengeluaran betul-betul secara bersasar bukan bagi semua keluar,” katanya mengakui simpanan hari tua penting untuk kelangsungan seseorang namun keperluan semasa juga perlu diambi kira.

“Kalau nak tunggu hari tua pun tak boleh sebab sekarang dah tak mampu. Rumah kena lelong… bil hospital tak mampu nak bayar, kena pinjam along lagi.

“Mereka perlukan bantuan hari ini bukan tunggu sampai umur 50 atau 55 tahun baru nak keluarkan duit KWSP. Mana adilnya kalau kita paksa mereka untuk mohon bantuan sara hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.