Notis LHDN terhadap Naimah adalah cukai 2 kali, mahkamah diberitahu

Notis LHDN terhadap Naimah adalah cukai 2 kali, mahkamah diberitahu

Peguam Naimah Khalid berkata balu Daim Zainuddin itu tidak boleh dikenakan cukai kerana beliau sudah menggabungkan cukai bersama suaminya.

naimah
Balu Daim Zainuddin, Naimah Khalid memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan tuntutan tunggakan cukai RM313.8 juta oleh LHDN. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa notis tambahan cukai sebanyak RM313.8 juta dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada Naimah Khalid pada Ogos tahun lalu adalah cacat dan tidak sah.

Peguam S Saravana Kumar, yang mewakili balu bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, berkata anak guamnya dikenakan cukai dua kali ke atas pendapatannya.

Beliau merujuk Seksyen 45(2)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang membolehkan seorang isteri dikenakan cukai secara bersama dengan suaminya. Oleh itu, mengenakan cukai yang sama ke atas Naimah dianggap sebagai cukai dua kali.

Seksyen tersebut menyatakan bahawa “seorang isteri boleh memilih secara bertulis supaya jumlah pendapatannya digabungkan dengan jumlah pendapatan suaminya dan dinilai atas nama suaminya bagi tahun taksiran itu.”

“Mereka (LHDN) mengenakan cukai ke atas suami pemohon bagi saham yang dimilikinya, dan beliau telah pun mencapai penyelesaian dengan LHDN apabila membayar cukai tersebut.

“(Naimah) sentiasa memilih untuk membayar cukai secara bersama dengan suaminya. Mengenakan cukai ke atasnya sekali lagi adalah tidak wajar. Ini adalah cukai dua kali, sebab itu kami memfailkan semakan kehakiman,” katanya.

Saravana memberitahu mahkamah bahawa LHDN menghantar surat kepada Daim pada 12 Jun 2023, menyatakan bahawa isterinya memperoleh tambahan 350,266,407 saham dalam Ilham Baru Sdn Bhd pada 2018.

Katanya, walaupun Daim dan LHDN telah mencapai penyelesaian, pihak berkuasa cukai itu kemudiannya mengeluarkan surat berasingan kepada Naimah pada 18 Jan 2024 berhubung perkara yang sama.

Naimah memfailkan permohonan untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman pada Ogos tahun lalu bagi membatalkan tuntutan cukai RM313.8 juta oleh LHDN.

Beliau berhujah bahawa LHDN telah menggunakan peruntukan undang-undang yang salah ketika mengeluarkan notis taksiran cukai bagi 2018.

Saravana dibantu Amira Azhar dan Dharshini Sharma, manakala Peguam Persekutuan Sheryn Yong mewakili Jabatan Peguam Negara.

Hakim Shahnaz Sulaiman menetapkan 22 April untuk keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.