
Sebaliknya, kata beliau kementerian sudah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat sekaligus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan.
“Segala pelaksanaan program dan inisiatif adalah berdasarkan tiga objektif yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat menghormati dan bertanggungjawab dan melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan,” katanya di Dewan Rakyat.
Aaron menjawab soalan Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai garis panduan untuk jabatan dan agensi kerajaan berhubung aktiviti yang membabitkan unsur keagamaan dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Pada Disember lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dikritik PAS berhubung sambutan Krismas di kementeriannya yang melibatkan beberapa kakitangan beragama Islam.
Pemuda PAS berkata menteri itu sepatutnya memahami bahawa umat Islam dilarang terlibat secara langsung dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Soalan Halimah turut berkait dengan kontroversi baru-baru ini mengenai cadangan garis panduan bagi umat Islam menghadiri perayaan, upacara pengebumian, atau acara di rumah ibadat bukan Islam.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, masing-masing menolak garis panduan itu yang dianggap sebagai tidak perlu.