
Suaram mendakwa, enam anggota polis dari IPD Putrajaya tiba ke pejabat NGO berkenaan hari ini untuk menangkap Pengarah Eksekutif Sevan Doraisamy dan koordinator Azura Nasron.
Kedua-duanya telah dimaklumkan polis pagi tadi bahawa pihak berkuasa akan berkunjung ke pejabat bagi menyampaikan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberi keterangan kepada polis.
“Mereka telah memaklumkan kedua-duanya bahawa mereka akan hadir menyampaikan notis 111, tetapi sebaliknya mereka ditangkap,” dakwa Suaram dalam satu kenyataan.
FMT telah menghubungi Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham untuk ulasan.
Setakat 3.10 petang tadi, wakil Suaram berkata Sevan telah dibebaskan dengan MyKad dikembalikan selepas keterangan diambil.
Pada Isnin, Suaram dan ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hadir di Kementerian Dalam Negeri bagi menyerahkan memorandum menuntut jawapan segera berhubung kesejahteraan tahanan.
Pegawai kementerian ada bertemu dengan pihak keluarga di pekarangan kementerian, namun hanya menyatakan kebimbangan mereka akan disampaikan kepada pihak berkenaan.
Suaram dan ahli keluarga terbabit, yang berkeras mahu bertemu dengan pegawai bagi penyerahan memorandum itu, kemudian berjaya melepasi pintu masuk kompleks kementerian, tetapi dihalang ke bangunan utama.
Minggu lalu, kira-kira 50 orang, termasuk ahli keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh kerana protes penolakan permohonan lawatan oleh Jabatan Penjara.
Permohonan mereka ditolak selepas pegawai penjara berkata, pejabat ditutup lima hari kerana cuti Thaipusam.
Ahli keluarga memutuskan melakukan mogok lapar sebagai tanda solidariti bersama tahanan selepas Suhakam berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan penjagaan kesihatan tidak mencukupi dan penangguhan perbicaraan dihadapi beberapa tahanan Sosma.