Najib akan mohon prosiding menghina terhadap bekas peguam negara

Najib akan mohon prosiding menghina terhadap bekas peguam negara

Shafee Abdullah berkata permohonan itu dibuat susulan kegagalan Ahmad Terrirudin Salleh mendedahkan titah adendum membenarkan Najib Razak jalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebelum ini, peguam Najib Razak memberitahu Mahkamah Rayuan yang titah adendum tahanan rumah diberikan Istana Pahang kepada Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh pada 29 Jan 2024.
PUTRAJAYA:
Najib Razak akan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina terhadap bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh, kata Shafee Abdullah.

Peguam kepada bekas perdana menteri itu berkata asas kepada permohonan terbabit dibuat susulan kegagalan Terrirudin mendedahkan titah adendum membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Dalam sidang media di Istana Kehakiman, Shafee berkata permohonan itu akan difailkan selewat-lewatnya Jumaat ini.

Bulan lalu, Shafee memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa adendum itu dihantar oleh Istana Pahang pada 29 Jan 2024 kepada Terrirudin.

Terrirudin yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November, sebelum ini mengelak pertanyaan daripada pemberita mengenai perkara itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa adendum itu diterima Terrirudin namun dihantar semula ke Istana Negara selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Najib telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa Putrajaya melaksanakan adendum dikeluarkan Agong sebelum ini bagi membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Lembaga itu turut mengurangkan dendanya daripada RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib sedang menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.