Mahkamah isytihar lelaki Indonesia ditahan bukan Paiman Shakimon

Mahkamah isytihar lelaki Indonesia ditahan bukan Paiman Shakimon

Hakim Jamil Hussin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan identiti lelaki itu melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah Tinggi memutuskan ahli perniagaan Indonesia Aldrin Pratama Widjaja bukanlah Paiman Shakimon, yang menghilangkan diri daripada menjalani hukuman penjara 13 tahun atas sabitan menipu dan memalsukan dokumen.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengisytiharkan seorang ahli perniagaan Indonesia yang ditahan bagi menjalani hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan menipu dan pemalsuan dokumen dalam satu kes penipuan pelaburan bukanlah individu yang disabitkan dikenali sebagai, Paiman Shakimon.

Hakim Jamil Hussin mendapati individu yang ditahan itu sebenarnya adalah Aldrin Pratama Widjaja, selepas prosiding inkuiri dijalankan.

Mahkamah Rayuan mengarahkan inkuiri tersebut pada 26 Sept 2023 bagi menentukan sama ada Aldrin adalah Paiman, yang melakukan kesalahan itu kira-kira 20 tahun lalu.

Dalam penghakiman ringkas hari ini, Jamil berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Aldrin dan Paiman adalah individu yang sama. “Responden (Aldrin) telah menimbulkan keraguan dalam kes pendakwaan,” katanya.

Aldrin Pratama Widjaja.

Jamil juga berkata bahawa bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan gagal menunjukkan secara konklusif bahawa Aldrin dan Paiman adalah individu yang sama.

“Laporan cap jari daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya menunjukkan padanan yang ‘hampir sepadan’ dengan Paiman. Oleh itu, ia tidak konklusif untuk mengatakan bahawa ahli perniagaan itu adalah Paiman,” katanya.

Katanya, dua dokumen yang dikemukakan oleh JPN menunjukkan tarikh lahir Paiman yang bercanggah.

“Satu adalah pada 1 Jun 1960 dan satu lagi pada 23 Mac 1959. Ia mengelirukan,” kata hakim itu.

Selain itu, Aldrin turut mengemukakan passport Indonesia miliknya di mahkamah, yang disahkan tulen.

“Ini turut disahkan dengan surat daripada kedutaan Indonesia,” katanya.

Jamil berkata pihak pendakwaan mengemukakan laporan ketika responden ditahan pada 13 Nov 2021. Bagaimanapun, katanya, butiran peribadi dalam laporan itu merujuk kepada seorang warga Indonesia bernama ‘Aldrin’.

Pada 2022, Mahkamah Rayuan menangguhkan pelaksanaan waran komital terhadap Aldrin dan menetapkan jaminan sebanyak RM1 juta sementara menunggu rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menafikan haknya untuk membuktikan identitinya yang sebenar.

Setahun kemudian, mahkamah membatalkan waran tersebut dan memerintahkan siasatan dijalankan, dengan menyatakan bahawa tidak selamat untuk menghantar seseorang ke penjara apabila identitinya masih dalam pertikaian, kerana ia melibatkan kebebasan peribadinya.

Pada 19 April 2011, Paiman dijatuhkan hukuman penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menipu dan dua pertuduhan memalsukan dokumen melibatkan RM12 juta daripada mangsa dalam kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Sesyen BS Jagjit Singh memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh hukuman hanya 13 tahun.

Paiman kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi dan dibenarkan ikat jamin RM750,000, tetapi dia menghilangkan diri selepas dibebaskan.

Pada 13 Nov 2021, polis menahan Aldrin dengan mendakwa bahawa lelaki itu adalah Paiman.

Kes ini kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Aldrin menjalani hukuman penjara seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ishak Yusoff, Hanafiah Zakaria, dan Tan Gin Han mewakili Aldrin, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul bertindak bagi pihak pendakwaan.

Hisyam berkata keputusan membuktikan bahawa anak guamnya adalah Aldrin, seorang warganegara Indonesia, dan pihak polis kini perlu mencari Paiman yang masih bebas.

“Kami akan kembali ke Mahkamah Rayuan untuk memohon pemulangan wang jaminan Aldrin sebanyak RM1 juta,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.