
Pertuduhan terhadap Zuraidi Zakaria, 51, dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan Zuraidi didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Epah Daik, 79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai, kira-kira jam 4.20 petang, 5 Feb lalu.
Zuraidi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Atifah kemudian menetapkan 28 Apr ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala Zuraidi tidak diwakili peguam.