
Menerusi jawapan bertulis, kementerian berkata peralihan daripada model rangkaian borong tunggal (SWN) kepada model dwi rangkaian 5G memerlukan perubahan signifikan dalam operasi perniagaan DNB, memandangkan DNB ditubuhkan berdasarkan model SWN.
Menurut kementerian, pada masa kini kerajaan memiliki kira-kira 34.9% pegangan ekuiti dalam DNB dan juga pegangan saham khas.
Kementerian memaklumkan seiring dengan peralihan kepada model dwi rangkaian 5G dan menurut Perjanjian Pemegang Saham DNB yang dimeterai, kerajaan akan dibayar bagi pegangan sahamnya dalam DNB dan akan melepaskan pegangan saham tersebut kepada syarikat telekomunikasi (telco) pemegang saham DNB.
“Selain itu, suntikan dana pinjaman oleh kerajaan kepada DNB akan dibayar balik oleh telco pemegang saham DNB kepada kerajaan. Ini termasuklah kadar faedah yang dikenakan bagi pinjaman tersebut.
“Pinjaman yang dijamin kerajaan akan dibiayai semula dan kerajaan akan dilepaskan daripada obligasi jaminan tersebut,” katanya.
Kementerian Digital berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung pelan terkini kerajaan dalam memastikan kelestarian dan kejayaan DNB, seterusnya memastikan ada pulangan kewangan.
Kementerian turut menegaskan DNB bekerjasama rapat dengan telco yang memegang sahamnya serta pakar perunding berpengalaman bagi memastikan kelestarian dan kejayaan masa depan DNB.
“Kerajaan kekal komited untuk membantu DNB dalam proses peralihan ini dan juga memastikan kejayaan kedua-dua rangkaian 5G dalam model dwi rangkaian,” katanya.