
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berkata, ini kerana Tabung Haji menetapkan had umur 15 tahun ke atas sahaja layak menunaikan ibadah berkenaan.
“Kalau kita tengok pengumuman tersebut, larangan itu terhadap kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Dalam konteks kita, memang dah tetapkan umur baligh iaitu 15 tahun.
“Dengan umur yang telah ditetapkan oleh TH tawaran (haji) iaitu menawarkan kepada jemaah haji yang layak paling kecil 15 tahun, jadi mereka ini tidak terkesan dengan peraturan baharu ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya menurut Bernama.
Beliau mengulas laporan media antarabangsa mengenai peraturan baharu Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah haji ke Tanah Suci tahun ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko bahaya akibat kesesakan luar biasa setiap tahun semasa musim haji.
Dalam pada itu, Na’im berkata Malaysia menghormati peraturan itu dan percaya Arab Saudi telah melakukan kajian terperinci mengenainya.
“Peraturan itu dibuat tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan perjalanan haji berjalan dengan baik.
“Seperti yang kita tahu musim haji itu sangat sesak, ada berjuta orang…kemungkinan tidak sesuai pada pandangan saya. Mungkin tidak sesuai untuk anak-anak dengan suhu yang begitu panas, jadi ia akan menyebabkan kesukaran,” katanya.