Wanita tular tampar anak di pasar raya ditahan

Wanita tular tampar anak di pasar raya ditahan

Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi berkata suspek akan dibawa ke mahkamah untuk reman bagi membantu siasatan.

Tangkap layar video tular menunjukkan suspek menampar anaknya beberapa kali sehingga kanak-kanak itu jatuh lalu terkena bucu bangku dan berdarah.
PETALING JAYA:
Seorang wanita ditahan polis selepas didakwa memukul dan mencederakan anaknya di koridor hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau semalam.

Suspek yang juga pekerja kantin berusia 37 tahun ditahan sekitar Mata Ayer susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular dipercayai dari pasar raya berkenaan.

Rakaman itu menunjukkan dia menampar anaknya beberapa kali sehingga kanak-kanak itu jatuh dan terkena bucu bangku berhampiran.

Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pihaknya menerima laporan sekitar 12.16 pagi ini berhubung tindakan wanita terbabit.

“Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.

“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa berusia empat tahun yang mengalami luka di kening sebelah kanan telah menerima rawatan susulan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.