
Johari berkata pasukan petugas khas itu akan meneruskan peranannya untuk memulihkan aset berkaitan 1MDB, lapor Berita Harian.
“Negara kita terus menjalankan proses pemulihan ini, bukan sahaja di Amerika Syarikat malah juga Switzerland, United Kingdom, Hong Kong, Singapura dan banyak lagi negara,” katanya di sidang media selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah malam tadi.
Pada Jumaat lalu, KARI yang memainkan peranan penting dalam menyiasat dan menghukum berkaitan skandal 1MDB, dilaporkan bubar.
Wartawan penyiasatan, Bradley Hope berkata Peguam Negara AS, Pam Bondi mengumumkan penutupan serta merta KARI dan Task Force Klepto Capture dalam satu email pada Rabu.
DoJ menggunakan kuasa KARI di bawah undang-undang rampasan aset sivil untuk merampas lebih daripada USD1 bilion (RM4.47 bilion) aset dikaitkan dengan dana 1MDB, termasuk hartanah mewah, karya seni dan barangan bernilai tinggi lain yang dibeli menggunakan wang yang diselewengkan.
Johari berkata pasukan petugas khas itu juga percaya bahawa Goldman Sachs masih belum buat penyelesaian dengan Malaysia.
“Adanya pertikaian dengan perjanjian pelaksanaan yang mereka (Goldman Sachs) tanda tangani dengan kerajaan sebelum ini.
“Mereka cuma bayar USD2.5 bilion (daripada USD3.9 bilion). Jadi kita kena lawan dalam proses arbitrasi,” katanya.