
Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata projek itu akan membuka banyak peluang bagi tujuan kerjasama, inovasi dan pembangunan dalam sektor O&G yang akan memanfaatkan industri serta masyarakat setempat.
“Sogip yang memudah cara bekalan gas asli dan bahan api rendah karbon lain dapat menjadi penghubung aspek peralihan daripada kebergantungan bahan api fosil kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) lebih besar seperti tenaga solar dan angin dalam campuran tenaga Malaysia.”
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini yang turut mengetengahkan potensi projek dalam menjadikan Sabah sebagai pemain utama sektor tenaga serantau.
Pembangunan projek itu hasil kerjasama strategik Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) yang menguruskan Sogip serta Gibson Shipbrokers Limited dan akan dilaksanakan dalam dua fasa merangkumi pembinaan pelabuhan khusus bagi tujuan pengangkutan tenaga serta aktiviti perdagangan.
Hajiji turut berkongsi keyakinan terhadap sokongan padu rakan kongsi sektor swasta dan kerajaan yang membantu Sogip menarik pelaburan tambahan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi dan pengembangan industri.
Sambil menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan tempatan, beliau berkata, penubuhan Majlis Kandungan Tempatan Sabah menerusi SMJ Energy pada Mei 2024 menjadi platform kerjasama pihak berkepentingan industri untuk mengenal pasti peluang meningkatkan pembangunan kapasiti bakat tempatan dalam industri O&G.
Menurutnya, platform itu membolehkan kerajaan negeri memberi mandat kepada semua pihak berkepentingan melabur dalam latihan dan pembangunan rakyat Sabah melalui program jangka pendek serta sederhana yang bakal dilaksanakan tahun ini.
“Seiring usaha Malaysia terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran tenaga global, Sogip akan memainkan peranan strategik bagi daya tahan ekonomi, kebebasan tenaga serta pertumbuhan perindustrian mampan.”