Persatuan Nelayan Kebangsaan nafi seleweng minyak diesel subsidi

Persatuan Nelayan Kebangsaan nafi seleweng minyak diesel subsidi

Penafian menyusul apabila ada lori terlibat kegiatan seludup bahan bakar itu papar logo persatuan serta logo 'Diesel Subsidi Nelayan'.

Nekmat Abdul Hamid
Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari, berkata pihaknya sokong tindakan penguatkuasaan banteras minyak diesel subsidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) nafi terlibat kegiatan penyelewengan minyak diesel subsidi menggunakan lori dengan logo persatuan itu serta logo ‘Diesel Subsidi Nelayan’ tanpa kebenaran.

Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari, berkata perbuatan menggunakan kedua-dua logo itu oleh pihak tidak bertanggungjawab ialah satu penipuan dan penyalahgunaan, yang boleh menjejaskan imej serta maruah persatuan.

“Nekmat memandang serius insiden penyelewengan minyak diesel subsidi menggunakan logo berkenaan tanpa kebenaran dalam satu operasi sindiket yang telah ditangkap dan disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Terengganu.

“Persatuan ingin menegaskan bahawa kami tidak terlibat sama sekali dalam sebarang aktiviti haram seperti yang dilaporkan,” katanya menurut Bernama.

Abdul Hamid berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan tegas KPDN dalam menangani isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan Nekmat komited memastikan bekalan minyak diesel subsidi nelayan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan nelayan berdaftar.

Katanya, pihak persatuan masih menunggu hasil siasatan terperinci daripada KPDN dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa, sekiranya terdapat bukti menunjukkan penglibatan pihak luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.