Pembelian hartanah Mara Inc di Australia: Pemaju ‘terselamat’ dari penjara

Pembelian hartanah Mara Inc di Australia: Pemaju ‘terselamat’ dari penjara

Mahkamah Majistret Melbourne membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 21 bulan terhadap Teen Boon Lye selepas mengaku salah atas tuduhan perakaunan palsu.

dudley house
Mahkamah diberitahu, Teen Boon Lye berunding dengan perantara Malaysia yang bertindak bagi pihak Mara Inc, untuk menjual hartanah bernilai A$22.6 juta, iaitu A$4.75 juta lebih tinggi daripada harga jualan asal. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Melbourne membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap pemaju hartanah kelahiran Malaysia, Teen Boon Lye, selepas mengaku salah atas peranannya menguruskan pembayaran fraud sebanyak A$3.4 juta (RM9.5 juta) kepada perantara dari Malaysia untuk hartanah dibeli oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) Inc pada 2013.

Hakim Michael O’Connell membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman 21 bulan terhadap Teen, 72, susulan pengakuan bersalahnya atas tuduhan perakaunan palsu, menurut laporan News.com.au.

O’Connell memutuskan, keadaan unik kes berkenaan dan keadaan peribadi Teen mewajarkan hukuman bukan bersifat penahanan memandangkan 12 tahun telah berlalu sejak kesalahan dilakukan, selain masalah kesihatan Teen boleh diterima sebagai faktor mitigasi.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran sekiranya Teen terlibat dalam sebarang jenayah lain dalam tempoh 21 tahun akan datang, dia kemungkinan perlu menjalani hukuman berkenaan.

Pada November lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) mengenal pasti hartanah terlebih nilai dibeli oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) Inc di Australia dan UK pada 2013 serta 2014.

Menurut Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin hartanah berkenaan adalah Dudley International House, 51 Queen Street, dan 333 Exhibition Street, di Melbourne, kedua-duanya dibeli pada 2013; dan Beaumont House di London, yang dibeli pada 2014.

Difahamkan, Teen terlibat dengan projek Dudley International House.

Menurut news.com.au, Teen bersekutu dengan kenalannya untuk membeli tanah dan membangunkan penginapan pelajar di Caulfield, Melbourne, pada lewat 2000-an.

Bagaimanapun, projek itu mengalami masalah kewangan, dan selepas beberapa bulan berusaha melakukan pembiayaan semula, dia mula mencari pembeli untuk projek itu.

Pada Oktober 2012, Mara bersetuju membeli projek pembangunan itu dengan nilai A$17.8 juta.

Teen mendakwa telah diperdaya perantara Malaysia yang merunding bagi pihak Mara selama beberapa bulan sebelum “perjanjian dalaman” dicapai untuk pembangunan itu dijual dengan nilai A$22.6 juta.

Nilai berlebihan sebanyak A$4.75 juta itu dibayar oleh Teen kepada perantara berkenaan.

Pada Mac 2013, Teen membantu perantara terbabit mewujudkan invois palsu untuk memberi gambaran bahawa bayaran itu adalah perbelanjaan perniagaan sah serta boleh ditolak cukai.

O’Connell memutuskan, A$3.4 juta daripada wang dibayar itu, iaitu tiga daripada empat invois berkenaan, tidak berasas dan dianggap habuan untuk memastikan transaksi itu diselesaikan.

“Anda atau syarikat anda tidak menerima sebarang manfaat daripada nilai dilambungkan yang dibayar oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

“Ini bukanlah jenayah tanpa mangsa, rakyat Malaysia kehilangan A$3.4 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.