Tiba masa modul latih ‘pak guard’, polis bantuan dikemaskini, kata Saifuddin

Tiba masa modul latih ‘pak guard’, polis bantuan dikemaskini, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata kejadian tembakan di sebuah pusat beli belah Setia Alam beri perspektif berbeza.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keselamatan orang awam kekal keutamaan tinggi kementerian dan polis.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan keselamatan negara terkawal susulan kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lalu.

Pada sidang media, Saifuddin menekankan keselamatan orang awam menjadi keutamaan tertinggi kementerian terutama polis.

“Kita beri jaminan bahawa keadaan keselamatan negara adalah terkawal.

“Tidak perlu panik untuk dibimbangkan kalau sekadar merujuk kepada insiden yang berlaku (kes tembakan di pusat beli-belah),” katanya.

Saifuddin juga memuji tindakan pantas polis terhadap kejadian tembakan itu, melibatkan langkah ‘profiling’ dan kenal pasti suspek, sambil menyatakan ia mencerminkan kesiapsiagaan dan kompetensi tinggi.

“Jadi, kalau kompetensi polis itu lemah, tentu kita masih terkial-kial lagi,” katanya.

Maklum kebimbangan orang ramai berhubung penggunaan senjata api, Saifuddin berkata Malaysia mempunyai kawalan senjata sedia ada yang ketat.

Katanya, rakyat Malaysia wajib mempunyai lesen pemilikan senjata api, dan tanpanya merupakan kesalahan jenayah berat yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Saifuddin berkata, pihak berkuasa mempunyai proses tapisan ketat kepada mereka yang memohon permit senjata api, termasuk ditapis di pelbagai peringkat melibatkan Bukit Aman dan kementeriannya.

Namun, katanya kejadian tembakan di Setia Alam memerlukan semakan modul latihan bagi pengawal keselamatan dan polis bantuan.

“Polis bantuan ataupun pengawal keselamatan ‘basic security training’ dia itu polis yang bagi modul, cuma insiden seperti ini memberikan kami satu lagi perspektif berbeza.

“Sudah sampai masanya untuk modul dan silibus latihan itu kita kemas kini,” katanya.

Semalam, Bukit Aman berkata penembak dikenal pasti berusia lingkungan 30-an disyaki di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

Suspek dilapor mempunyai 11 rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Namun, identiti penuh suspek belum didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.