
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata Trump berkomunikasi dengan pemimpin yang berdepan cabaran dengan negara lain, atau negara menghadapi isu berkait dasar luarnya, termasuk Mexico, Colombia, dan Kanada.
“Namun, apabila mengenai China, Trump tiada menunjukkan minat bercakap atau bertemu (presiden China) Xi Jinping,” katanya kepada FMT.
“Selagi kita tiada dalam radar Trump, kita baik-baik sahaja. Sentiasa ‘low profile’ sudah cukup untuk mengelak perhatian tidak diperlukan – perdana menteri kita tidak perlu perbualan dengan Trump,” tambahnya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, percaya Trump “amat sibuk” dan tidak tergesa-gesa untuk menerima panggilan dari Malaysia, di mana negara ini tidak begitu menyebelahi Amerika dalam konfrontasi China-AS yang sedang berlaku.
“Lagipun, beliau sudah bercakap dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, pemimpin negara terbesar Asia Tenggara,” katanya.
Azmi berkata, beliau berpandangan Trump tidak akan melayan jemputan menghadiri Sidang Kemuncak Asean, memandangkan Asia Tenggara atau Asean bukan menjadi fokus Trump.
Katanya, memadai jika Setiausaha AS Marco Rubio hadir pada sidang kemuncak itu.
Oh bersetuju Trump tidak terburu-buru datang ke rantau ini. “Malah, Xi berkemungkinan datang, bukan?” katanya merujuk laporan bahawa Putrajaya menghantar jemputan kepada presiden China November lalu.
Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menuduh Duta Besar ke AS, Nazri Aziz, gagal mengatur panggilan telefon antara Anwar dan Trump, sambil menambah panggilan itu isyarat penting dalam komuniti diplomatik.
Namun, Nazri menolak kritikan Ong, dan menyatakan ketegasan Malaysia dalam isu Palestin juga sudah diketahui dunia dan pendirian itu berbeza dengan Trump yang menyokong Israel.
Katanya, tidak menjadi masalah besar Anwar tidak bercakap dengan Trump, mengambil kira perdana menteri telah menyampaikan ucapan tahniah kepadanya menerajui Rumah Putih bagi penggal kedua.