
Beliau yang juga menteri kewangan, berkata pelaksanaan projek seperti itu mungkin boleh dipercepatkan dengan kaedah rundingan, namun terdedah kepada banyak keterlanjuran dan ketirisan.
“Sebaiknya kita guna tender, tetapi ambil masa terlalu panjang dan orang yang terkesan dengan banjir tidak mampu menunggu.
“Hal ini saya harap dapat diberikan perhatian,” katanya berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bulan lalu, Anwar berkata kerajaan sedia merombak unjuran tempoh pelaksanaan projek mendesak seperti membasmi miskin tegar dan tebatan banjir supaya diselesaikan segera.
Menurutnya, keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dijadikan alasan untuk projek mendesak itu dilengahkan termasuk tebatan banjir di Rantau Panjang, Kelantan.
Sementara itu, Anwar berharap penjawat awam dapat meneruskan kecekapan dengan memantau pelbagai permasalahan seperti kemiskinan tegar yang walaupun berjaya diturunkan namun sentiasa ada pertambahan.
“Saya telefon ketua pengarah ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM) untuk pastikan pantau projek miskin tegar, kejayaannya baik namun jumlahnya sentiasa bertambah…contoh saya semak di Parlimen Tambun ada lagi 15 keluarga.
“15 keluarga itu boleh dicari dan selesai dalam dua hari supaya miskin tegar dapat dibereskan.
“Maksudnya, sentiasa pantau kerana walaupun dah selesai Oktober mungkin November mungkin tambah lagi, kemiskinan relatif mungkin perlu ambil masa (selesaikan),” katanya.